Am 30/07/2026 06:57 PM

Hari Pahlawan: Kira-kira 500 Hadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil Kenang Jasa Wira Negara - KSN

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hari Pahlawan: Kira-kira 500 Hadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil Kenang Jasa Wira Negara - KSN
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kira-kira 500 orang menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negara bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan 2026 sebagai tanda mengenang serta menghargai jasa dan pengorbanan wira serta wirawati negara.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata majlis anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu diadakan sebagai penghargaan kepada seluruh anggota keselamatan dan wira negara, sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah gugur mempertahankan tanah air.

"Kehadiran melibatkan pelbagai agensi termasuk warga daripada JPM selain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen Malaysia serta pasukan keselamatan lain sebab mereka semua ini adalah pahlawan negara.

“Kemuncak acara Sambutan Hari Pahlawan bakal berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, esok,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan di sini hari ini.

Terdahulu, Shamsul Azri menyertai majlis bacaan yasin yang diikuti tahlil dan doa selamat dipimpin Imam Besar Masjid Negara Dr Amru Alhaz Adnan.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman dan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat merupakan antara acara tradisi yang diadakan menjelang sambutan rasmi Hari Pahlawan sebagai wadah mengenang erti perjuangan dan pengorbanan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun bagi memperingati jasa serta pengorbanan anggota keselamatan negara dan dianjurkan secara bergilir-gilir oleh ATM dan PDRM sejak 1968.

-- BERNAMA