KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Operasi perobohan 119 premis di Kampung Chubadak Tambahan, Setapak di sini hari ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Basri Sagoni berkata operasi meroboh dilakukan di bawah pemantauan berterusan pihak berkuasa dan tiada kehadiran badan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mencetuskan sebarang gangguan.
Beliau berkata hingga 2 petang tadi, keseluruhan 119 premis dirobohkan melibatkan zon operasi.
“Pihak polis menegaskan segala proses pengosongan tapak ini dilaksanakan secara telus dan teratur mengikut prosedur sedia ada.
“Polis juga akan terus komited memastikan keselamatan awam, ketenteraman dan kelancaran setiap operasi penguatkuasaan demi kepentingan semua pihak,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Ops Roboh Fasa 1 dilaksanakan pada 14 Jan lepas melibatkan 69 rumah.
Pada 16 Julai, pihak mahkamah telah menyerahkan notis pengosongan kepada pemilik premis untuk mengosongkan kawasan terbabit bermula 16 Julai hingga hari ini.
-- BERNAMA