KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengambil tindakan segera meneliti Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.
AGC menerusi kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu bagi memastikan semua aspek siasatan oleh badan-badan penguat kuasa dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan komprehensif agar pertimbangan sewajarnya dapat dibuat bagi menentukan sama ada wujud sebarang pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan.
“Tindakan dan komitmen jabatan ini adalah selaras dengan tanggungjawab perlembagaan untuk memastikan siasatan sentiasa dijalankan mengikut peruntukan undang-undang serta berdasarkan bukti yang ada.
“Jabatan ini (AGC) memberi jaminan bahawa sebarang keputusan pendakwaan, sekiranya perlu, akan dibuat berasaskan undang-undang dan keterangan yang boleh diterima di mahkamah tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam,” menurut kenyataan itu.
AGC turut menyambut baik pengumuman keputusan Jemaah Menteri untuk mendedahkan laporan RCI itu kepada umum dan memandang serius penemuan-penemuan berkaitan aspek pengurusan, pelaburan serta dakwaan salah laku yang terkandung dalam laporan tersebut.
AGC juga menyarankan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan serta menghakis keyakinan terhadap kewibawaan dan kelangsungan TH dalam melaksanakan peranannya menurut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan yang lalu dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.
Laporan itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.
RCI berkenaan mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
-- BERNAMA