BUTTERWORTH, 30 Julai (Bernama) -- Kutipan zakat fitrah di Pulau Pinang meningkat kepada RM10.32 juta tahun ini berbanding RM8.89 juta pada 2025.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Prof Emeritus Datuk Abd Aziz Tajuddin berkata jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak RM1.43 juta atau 16.09 peratus berbanding 2025.
Beliau berkata peningkatan itu amat memberangsangkan selepas kutipan zakat fitrah pada tahun lepas turut mencatat pertumbuhan sebanyak 21.12 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Ia membuktikan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan zakat di negeri ini terus kukuh dan momentum tersebut berjaya dikekalkan untuk dua tahun berturut-turut.
“Lebih membanggakan, kutipan itu mengatasi sasaran awal RM10.2 juta, iaitu melebihi RM116,313 atau 1.14 peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Amil Zakat Fitrah Tahun 1447H/2026M di PICCA@Butterworth Arena di sini hari ini.
Abd Aziz berkata kutipan menerusi platform Smart Amil dan saluran dalam talian turut meningkat kepada RM2.12 juta tahun ini berbanding RM877,098.08 pada 2025.
“Kutipan digital meningkat sebanyak RM1.24 juta atau 141.79 peratus dan kini menyumbang 20.56 peratus daripada keseluruhan kutipan zakat fitrah berbanding 9.87 peratus pada tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan masyarakat semakin menerima kaedah pembayaran digital yang pantas, mudah dan selamat, namun teknologi bukan pengganti kepada amil, sebaliknya memperkasakan tugas mereka.
Beliau berkata 1,686 amil zakat fitrah dilantik bagi 1447H melibatkan 239 kariah di seluruh Pulau Pinang, termasuk Masjid Negeri, masjid daerah, masjid kariah dan pusat kutipan ditetapkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP Mohamad Khairi Ghazali berkata sebanyak RM9.83 juta telah diagihkan sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal tahun ini kepada 14,126 asnaf menerusi Agihan Zakat Nur Ramadan, manakala 7,539 asnaf fakir dan miskin menerima Saguhati Hari Raya.
Beliau berkata sebanyak 235 pesakit Pusat Hemodialisis Zakat turut menerima Saguhati Aidilfitri, manakala 75 pelajar Inapan Kasih Sayang MAINPP menerima pakaian dan duit raya, sementara 58 amil zakat fitrah menerima anugerah pada majlis itu sebagai pengiktirafan terhadap khidmat mereka sepanjang Ramadan lepas.
-- BERNAMA