CYBERJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan infrastruktur komunikasi di sepanjang rangkaian lebuh raya negara.
MoU itu bertujuan mempercepat pembangunan infrastruktur digital yang bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur fizikal, sekali gus meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan telekomunikasi serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyaksikan pertukaran MoU itu yang diwakili Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi LLM Datuk Seri Hasni Mohammad.
Fahmi ketika berucap pada majlis pemeteraian itu berkata usaha memperkukuh liputan komunikasi di sepanjang lebuh raya bukan sekadar projek telekomunikasi, malah pelaburan strategik yang menyokong keselamatan awam, meningkatkan produktiviti ekonomi serta mempercepat transformasi digital negara.
"Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan komitmen kerajaan untuk memastikan manfaat pendigitalan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat, kerjasama antara MCMC dan LLM ini mengangkat semangat ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’," katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Azman Ibrahim.
Fahmi berkata kerjasama yang dimeterai itu akan memberikan manfaat yang jauh melangkaui peningkatan liputan rangkaian antaranya memastikan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang lebih selamat melalui akses yang lebih baik kepada komunikasi kecemasan, aplikasi navigasi serta maklumat trafik secara masa nyata.
Selain itu, kerjasama berkenaan menyokong pertumbuhan ekonomi dan sektor logistik yang semakin bergantung pada data serta ketersambungan digital bagi pemantauan kenderaan, pengurusan armada dan pergerakan barangan yang lebih cekap.
Fahmi berkata ia juga dapat memperkukuh asas digital bagi menyokong pembangunan teknologi mobiliti masa hadapan, termasuk sistem pengangkutan pintar, pelaksanaan sistem Multi-Lane Fast Flow (MLFF) dan pelbagai inisiatif mobiliti pintar yang memerlukan infrastruktur komunikasi yang kukuh, berdaya tahan serta boleh dipercayai, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan digital negara tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, malah merangkumi koridor pengangkutan.
"Bagi memastikan kerjasama ini diterjemahkan kepada tindakan nyata, MCMC dan LLM akan menubuhkan Pasukan Petugas Bersama yang berperanan menyelaras pelaksanaan projek, mengenal pasti kawasan keutamaan serta menangani cabaran pelaksanaan secara lebih pantas dan berkesan.
"Pendekatan ini membolehkan isu berkaitan akses tapak, kelulusan teknikal dan penyelarasan pembangunan ditangani secara lebih bersepadu demi mempercepat penyampaian manfaat kepada rakyat.
"Saya yakin melalui komitmen, kepakaran dan semangat kolaborasi semua pihak, kita bukan sahaja akan menambah baik liputan komunikasi di sepanjang lebuh raya negara, malah membina asas yang lebih kukuh untuk memperkasakan ekosistem mobiliti pintar, mempercepat pertumbuhan ekonomi digital dan mewujudkan kehidupan yang lebih terhubung untuk generasi akan datang," katanya.
Sementara itu, menurut kenyataan bersama dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kerja Raya, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kerjasama rentas kementerian dan agensi menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) bagi memastikan pelaksanaan projek yang lebih cekap, bersepadu dan berimpak tinggi.
Menurut kenyataan itu, bagi meningkatkan liputan serta kualiti perkhidmatan telekomunikasi, kedua-dua agensi akan bekerjasama membangunkan infrastruktur komunikasi di lokasi yang memerlukan, termasuk kawasan liputan lemah yang sering menyebabkan panggilan terputus, menerusi penggunaan kawasan rizab lebuh raya atau Right of Way (ROW).
"Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif ini, MCMC telah mengeluarkan pelawaan pada 15 Mei lepas bagi menambah baik liputan Internet melalui pembinaan menara komunikasi di 10 lebuh raya seliaan LLM yang dikenal pasti mempunyai isu liputan lemah, antaranya Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) serta kawasan geografi yang mencabar seperti Terowong Menora dan Gua Tempurung di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA