24/07/2026 12:36 AM

Saadia Zahidi Wanita Pertama Dilantik Ketua Pengarah IATA

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melantik ahli ekonomi Pakistan-Switzerland, Saadia Zahidi sebagai ketua pengarah kesembilannya, sekali gus menjadikan beliau wanita pertama yang menjawat jawatan berkenaan.

Pelantikan beliau berkuat kuasa pada 1 Nov, 2026, menurut IATA dalam satu kenyataan.

Saadia akan menggantikan ketua pengarah sedia ada, Willie Walsh, yang tempoh perkhidmatannya berakhir 31 Julai, 2026.

Pengerusi IATA Roberto Alvo berkata persatuan itu menghargai kepimpinan cemerlang Walsh, yang membantu IATA bangkit lebih kukuh selepas pandemik COVID-19 dan dengan jumlah keahlian yang lebih berbanding sebelum ini.

“Pengalaman Saadia yang lama dan cemerlang di Forum Ekonomi Dunia (WEF) akan meningkatkan dan memperkukuh IATA sebagai suara syarikat penerbangan dunia. Pengangkutan udara global merupakan industri bernilai trilion dolar yang terus mengubah dunia ke arah lebih baik.

“Teknologi dan geopolitik, antara lain akan membentuk semula industri ini pada masa hadapan dan Saadia membawa kemahiran yang tepat untuk menyatakan secara berkesan apa yang diperlukan oleh industri kita bagi terus menghubungkan orang ramai dan ekonomi secara selamat, cekap dan mampan,” kata beliau.

Alvo berkata Saadia akan mencetuskan perspektif baharu untuk IATA dan terus memperkukuh sokongannya kepada industri penerbangan dengan memanfaatkan keupayaan teknikal, kewangan dan data persatuan itu yang telah kukuh.

Saadia berkhidmat selama lebih dua dekad di WEF, memegang jawatan sebagai pengarah urusan dan ahli lembaga pengurusan selepas sebelum ini memimpin Kumpulan Komunikasi Global, Kumpulan Pengaturcaraan Global, serta libat urus WEF dengan ahli akademik, masyarakat dan organisasi antarabangsa.

Beliau merupakan pengasas dan kini Ketua Pusat Ekonomi dan Masyarakat Baharu WEF, serta pengarang bersama bagi Laporan Masa Depan Pekerjaan, Laporan Masa Depan Pertumbuhan, Laporan Jurang Jantina Global dan Tinjauan Ketua Ahli Ekonomi terbitan WEF.

Beliau juga pernah berkhidmat dalam Panel Peringkat Tertinggi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pemerkasaan Ekonomi Wanita dan Kumpulan Penasihat Peringkat Tertinggi Agensi Angkasa Lepas Eropah.

-- BERNAMA