24/07/2026 12:13 AM

Malaysia Berpeluang Kembali Tersenarai Dalam Kalendar F1 Tahun Ini Jika Konflik Berterusan

BERLIN, 23 Julai (Bernama-dpa) -- Malaysia berpeluang kembali tersenarai dalam kalendar Formula Satu (F1) pada notis singkat tahun ini sekiranya konflik melibatkan Iran terus menimbulkan gangguan, lapor portal khusus sukan permotoran the-race.com pada Khamis.

Pada pertengahan Mac, Formula Satu menangguhkan perlumbaan di Bahrain dan Arab Saudi yang dijadualkan berlangsung pada April susulan peperangan, sekali gus mengurangkan kalendar musim ini daripada 24 kepada 22 perlumbaan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Menurut laporan itu, sekiranya dua perlumbaan terakhir musim ini di Qatar pada 29 Nov dan Abu Dhabi pada 6 Dis tidak dapat diteruskan akibat konflik di Asia Barat, pengurusan F1 sedang meneliti beberapa pilihan lain.

Sebelum konflik Iran kembali memuncak, pihak penganjur berharap Grand Prix Bahrain dapat dijadualkan semula pada hujung minggu pertama Oktober, di antara perlumbaan di Azerbaijan dan Singapura.

Bagaimanapun, kemungkinan itu kini dilihat semakin tipis susulan ketegangan yang kembali memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran. Justeru, Malaysia dan Turkiye kini antara calon untuk menganjurkan perlumbaan pada 4 Okt, menurut laporan itu.

F1 dijangka membuat keputusan awal mengenai perlumbaan yang dicadangkan pada Oktober itu ketika kejuaraan memasuki cuti pertengahan musim selepas Grand Prix Hungary di Budapest hujung minggu ini, sebelum saingan bersambung semula pada penghujung Ogos.

Litar Antarabangsa Sepang pernah menjadi tuan rumah Grand Prix F1 Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum ia digugurkan daripada kalendar susulan peningkatan kos penganjuran dan yuran pelesenan.

Sementara itu, Litar Portimao di Portugal kekal sebagai lokasi alternatif bagi perlumbaan penutup musim sekiranya perlumbaan di Abu Dhabi pada 6 Dis tidak dapat diteruskan manakala Grand Prix Qatar akan digugurkan daripada kalendar.

Litar Algarve itu kali terakhir menganjurkan perlumbaan Formula Satu pada 2020 dan 2021 sebagai pengganti ketika pandemik COVID-19 dan dijadual kembali menjadi tuan rumah pada 2027 dan 2028.

-- BERNAMA-dpa