Pasport Malaysia Kekal Antara 10 Paling Berkuasa Di Dunia, Di Tangga Ketujuh
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Malaysia kekal dalam kelompok 10 pasport paling berkuasa di dunia apabila menduduki tempat ketujuh dalam Indeks Pasport Henley 2026 dengan pemegang pasport Malaysia menikmati akses tanpa visa atau visa semasa ketibaan ke 183 destinasi.
Singapura mengungguli kedudukan itu dengan akses tanpa visa ke 192 destinasi, diikuti Jepun, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berkongsi tempat kedua, manakala Sweden berada di tempat ketiga.
Belgium, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Luxembourg, Belanda, Norway dan Sepanyol berkongsi tempat keempat, diikuti Austria, Greece, Malta, Portugal dan Switzerland di tempat kelima.
Hungary, Poland dan United Kingdom (UK) berada di kedudukan keenam, manakala Croatia dan Estonia di tempat kelapan serta Liechtenstein dan Lithuania di tempat kesembilan.
Malaysia berkongsi kedudukan ketujuh bersama Australia, Kanada, Czechia, Latvia, New Zealand, Slovakia dan Slovenia, menurut indeks itu yang menilai tahap mobiliti keseluruhan setiap pasport di seluruh dunia.
Di Asia Tenggara, Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai pemilik pasport kedua paling berkuasa selepas Singapura, manakala Brunei berada di kedudukan ke-19 dengan akses ke 163 destinasi.
Malaysia turut mengatasi beberapa ekonomi maju, termasuk Amerika Syarikat (AS), yang berkongsi tempat ke-10 bersama Iceland, serta Hong Kong yang berada di kedudukan ke-14.
Di rantau Asia Tenggara, Thailand berada di kedudukan ke-63 dengan akses ke 77 destinasi, diikuti Indonesia di tempat ke-68 (70 destinasi) dan Filipina di tempat ke-72 (65 destinasi). Vietnam berada di kedudukan ke-87, Kemboja ke-88, Laos ke-89 dan Myanmar ke-91.
Indeks Paspot Henley menyenaraikan kedudukan pasport negara di seluruh dunia berdasarkan jumlah destinasi yang membenarkan perjalanan tanpa visa, visa semasa ketibaan atau memerlukan visa terlebih dahulu.
Edisi 2026 indeks itu menilai 199 pasport merentasi 227 destinasi di seluruh dunia menggunakan data daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang dikemas kini secara berkala bagi mencerminkan perubahan dalam akses perjalanan dan mobiliti global.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Glasgow 2026: Izzat Shameer Langkah Kanan, Tekad Perbaiki Persembahan
- Saadia Zahidi Wanita Pertama Dilantik Ketua Pengarah IATA
- Malaysia Berpeluang Kembali Tersenarai Dalam Kalendar F1 Tahun Ini Jika Konflik Berterusan
- Kedai Perkakasan Musnah Dalam Kebakaran Di Seri Kembangan
- IMO 2026: Malaysia Lakar Sejarah, Berada Dalam Kelompok 20 Terbaik Dunia