Graduan Malaysia Miliki Kompetensi Aeroangkasa Bertaraf Dunia
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Graduan Malaysia terbukti mempunyai kompetensi tinggi dan berupaya memenuhi piawaian industri aeroangkasa antarabangsa, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata perkara itu terbukti menerusi kejayaan 56 mahasiswa tempatan menamatkan latihan industri di Turkish Aerospace Industries (TUSAS) di Ankara, Turkiye melalui Program Turkish Aerospace SKYGLOBAL sejak diperkenalkan pada 2023.
"Program Turkish Aerospace SKYGLOBAL terus membuktikan keberkesanannya sebagai platform pembangunan bakat berimpak tinggi.
"Lebih membanggakan, sebahagian daripada alumni program kini telah menyertai TUSAS sebagai tenaga profesional, membuktikan bahawa graduan Malaysia memiliki kompetensi dan keupayaan untuk memenuhi standard industri aeroangkasa bertaraf antarabangsa," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.
Zambry berkata program berkenaan bukan latihan industri biasa, sebaliknya merupakan wadah penting untuk membangunkan modal insan berkemahiran tinggi yang mempunyai kompetensi teknikal, daya kepimpinan, kebolehsuaian serta perspektif global yang dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan.
Mengulas perkembangan terkini program berkenaan, Zambry berkata beliau telah menyerahkan surat tawaran kepada 20 mahasiswa daripada sembilan universiti tempatan yang terpilih hari ini untuk menyertai program berkenaan.
Beliau berkata bagi kohort 2026, peserta akan mengikuti latihan industri secara langsung di fasiliti Turkish Aerospace di Ankara dengan pendedahan kepada teknologi aeroangkasa terkini, proses kejuruteraan berteknologi tinggi serta amalan operasi yang menepati standard global.
"Program ini membuktikan bahawa apabila universiti, industri dan rakan strategik antarabangsa berganding bahu, lebih banyak peluang dapat diwujudkan untuk mahasiswa Malaysia menimba pengalaman di pentas global.
"Saya berharap para peserta memanfaatkan peluang ini untuk menimba ilmu, menguasai teknologi baharu, membina jaringan antarabangsa dan membawa pulang pengalaman yang mampu memperkukuh ekosistem aeroangkasa serta teknologi tinggi negara," katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Glasgow 2026: Izzat Shameer Langkah Kanan, Tekad Perbaiki Persembahan
- Saadia Zahidi Wanita Pertama Dilantik Ketua Pengarah IATA
- Malaysia Berpeluang Kembali Tersenarai Dalam Kalendar F1 Tahun Ini Jika Konflik Berterusan
- Kedai Perkakasan Musnah Dalam Kebakaran Di Seri Kembangan
- IMO 2026: Malaysia Lakar Sejarah, Berada Dalam Kelompok 20 Terbaik Dunia