77 Pelatih PLKN Diberi Kelonggaran Tunai Tanggungjawab Mengundi
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Sebanyak 77 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3/2026, diberi kelonggaran untuk menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar berkata langkah itu, bagi memastikan hak demokrasi pelatih sentiasa terpelihara tanpa menjejaskan objektif pelaksanaan program latihan kenegaraan berkenaan.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 31 pelatih yang mengundi pada PRN Johor hari ini dibenarkan melapor diri ke kem esok.
“Sebanyak 46 orang pelatih yang mengundi di Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan pula, akan diberikan pelepasan selama dua hingga tiga hari bagi urusan perjalanan dan hari mengundi sebelum kembali menyambung latihan di kem,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Secara keseluruhan, Marzuki berkata sebanyak 870 pelatih yang telah mengesahkan penyertaan, dijangka memenuhi kapasiti latihan bagi siri kali ini yang bermula hari ini hingga 24 Ogos.
Jumlah itu meliputi 500 pelatih di Kem 505 AW di Pekan, Pahang; 250 pelatih di Kem 515 AW di Kuala Lumpur dan 120 pelatih di Kem 504 AW Bukit Keteri di Perlis.
Dalam pada itu, JLKN turut mengingatkan bakal pelatih PLKN 3.0 Siri 4/2026, khususnya mereka yang lahir pada tahun 2008, supaya sentiasa mengikuti hebahan berhubung proses pemilihan dan pendaftaran menerusi saluran rasmi jabatan itu.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Sumareh Kembali Perkuat Harimau Malaya
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Lapan Negeri Dan Kuala Lumpur Hingga 5 Petang
- Program CIMIC Bawa Perkhidmatan Kesihatan Secara Terus Dan Percuma Kepada Komuniti
- MoF Sasar 10 Program Penunaian STR Untuk Masyarakat Orang Asli Di Semenanjung
- Abdul Latif Dipilih Sebagai Pembawa Jalur Gemilang Ke Glasgow 2026