Kerajaan Persekutuan Tidak Pilih "Warna Politik" Bantu Rakyat - Anwar
BATU PAHAT, 9 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan beliau tidak pernah meminggirkan mana-mana pihak berdasarkan "warna politik" dalam usaha menyelesaikan isu berkaitan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata komitmen tersebut dibuktikan menerusi pelbagai agenda pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur strategik yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk Johor, Kelantan serta Kedah.
“Semua kita bantu... kita bukan sekadar datang atau beritahu nak bantu bila tiba musim pilihan raya sahaja... tidak... sejak kita ambil alih Kerajaan Persekutuan, banyak telah kita bangunkan negeri-negeri.
“Di Johor misalnya, kita bangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, kita bantu berapa banyak projek tebatan banjir di Segamat, di Muar... berbilion Kerajaan Persekutuan luluskan perbelanjaan,” katanya ketika berucap pada program Yok! Meriahkan Johor! Undi Harapan di Senggarang hari ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Hadir sama Pengarah Komunikasi PH Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi dan calon gabungan itu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang Onn Abu Bakar, DUN Semerah Mohd Khuzzan Abu Bakar serta DUN Penggaram Felicia Poh Rui Ling.
Anwar berkata Kerajaan Persekutuan kekal komited mengutamakan kebajikan rakyat serta pembangunan negeri biarpun di bawah pentadbiran pembangkang seperti Kelantan dan Kedah.
“Kelantan itu hijau semua, PAS... dia sokong saya? Tak... tapi ada banjir, saya tolong tak? Saya tolong, sebab apa? Sebab orang susah, banjir... kita bantu termasuk projek-projek bagi tangani banjir itu daripada berulang.
“Kedah pula? Esok saya bersama dengan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul akan merasmikan pembukaan jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Malaysia dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand,” katanya.
Menyentuh mengenai aspek pendidikan pula, beliau berkata Kerajaan MADANI sentiasa bersikap inklusif dalam menyalurkan bantuan tanpa mengambil kira latar belakang politik sesebuah institusi.
“Lihatlah siapa yang luluskan pelanjutan tempoh pelepasan cukai kepada TAR UMT (Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman) selama 10 tahun... kita buat... Kerajaan MADANI selesaikan,” katanya.
Program Yok! Meriahkan Johor! Undi Harapan di Senggarang ialah antara tiga program Anwar di negeri itu malam ini bagi memberikan dukungan buat calon-calon dan jentera Harapan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Anwar Mahu Rakyat Tolak Perkauman, Utamakan Perpaduan
- PGA Tahan Lelaki, Rampas Tujuh Ekor Lembu Seludup Bernilai RM192,000
- PRN Johor: Teo Persoal Tujuan Sebenar Pelantikan ADUN Lantikan Johor
- Perdagangan Dua Hala ASEAN-India Cecah US$128 Bilion
- KWAP Imbang Pendekatan Pelaburan, Perkukuh Pemantauan Syarikat Pemula Niaga -- MOF