Am 08/10/2026 11:51 AM

Belanjawan 2027: MISC Cadang Geran Padanan, Perkongsian Kos Latihan Maritim

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027: MISC Cadang Geran Padanan, Perkongsian Kos Latihan Maritim
Kredit: MISC

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- MISC Berhad mencadangkan Belanjawan 2027 memperkukuh model pelaburan bersama dengan kerajaan dan industri, termasuk geran padanan serta perkongsian kos, bagi melatih lebih ramai rakyat Malaysia untuk pekerjaan maritim.

MISC Berhad dalam jawapan bertulis kepada Bernama memaklumkan bahawa pembangunan tenaga kerja sektor itu memerlukan perbelanjaan besar yang meliputi latihan praktikal, pensijilan profesional, penggunaan simulator dan penempatan di atas kapal untuk memperoleh pengalaman pelayaran.

“Insentif yang paling memberikan impak ialah insentif yang dapat menggalakkan lebih banyak syarikat untuk turut melabur secara bersama dalam pembangunan bakat,” menurut syarikat itu.

MISC memaklumkan perkongsian kos amat relevan bagi program yang memerlukan pelaburan tinggi atau melibatkan kompetensi baharu ketika digitalisasi, automasi, usaha penyahkarbonan dan penggunaan bahan api alternatif mengubah keperluan tenaga kerja maritim.

Beliau berkata sokongan kerajaan dapat membantu industri mempercepat latihan semula dan peningkatan kemahiran, selain mengurangkan kos membangunkan kompetensi yang belum tersedia secara meluas.

Menurut MISC, usaha meningkatkan penyertaan rakyat Malaysia dalam sektor maritim perlu bermula sebelum mereka memasuki pasaran kerja, menerusi pendedahan kerjaya di sekolah, akses kepada pendidikan dan tajaan, latihan yang memenuhi keperluan industri serta peluang memperoleh pengalaman sebenar.

Syarikat itu memaklumkan Akademi Laut Malaysia (ALAM) yang diuruskan oleh anak syarikatnya, Malaysian Maritime Academy Sdn Bhd, telah melatih lebih 15,000 graduan maritim sejak 1977 melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), diploma kadet dan kursus profesional.

Pelajar dan kadet ALAM berpeluang menjalani pembelajaran berasaskan kerja termasuk latihan di atas kapal MISC dan bersama-sama rakan industri supaya kelayakan yang diperoleh disertai dengan pengalaman operasi yang diperlukan majikan.

Dalam kejuruteraan marin dan industri berat pula, Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) bekerjasama dengan institusi seperti TVET MARA (Majlis Amanah Rakyat), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan politeknik bagi menyediakan latihan di tempat kerja.

“Matlamat Kumpulan MISC bukan sekadar untuk melahirkan lebih ramai graduan, tetapi untuk membina saluran bakat maritim yang mampan, daripada pendidikan kepada pekerjaan dan perkembangan kerjaya,” menurut syarikat itu.

Jurang kemahiran maritim kini lebih berkait dengan perubahan jenis kepakaran yang diperlukan apabila teknologi baharu mengubah cara kapal dibina, dikendalikan dan diuruskan.

Sebagai contoh, MHB bekerjasama dengan ADTEC Pasir Gudang untuk menyesuaikan latihan kimpalan dengan keperluan industri, diikuti dengan penilaian kompetensi dan peluang pekerjaan kepada peserta yang memenuhi kriteria ditetapkan.

MISC memaklumkan pembelajaran sepanjang hayat turut penting bagi pelaut yang ingin meningkatkan kompetensi atau beralih kepada pekerjaan di darat, termasuk dalam pengurusan kapal, operasi pelabuhan, keselamatan dan latihan.

ALAM menawarkan kira-kira 160 kursus daripada program TVET sehingga latihan profesional lanjutan, selain latihan menggunakan simulator dan kursus berkaitan teknologi baharu, termasuk pengendalian kapal berbahan api ammonia.

“Kerajaan boleh memainkan peranan penting sebagai pemudah cara melalui dasar, insentif dan pembiayaan yang sesuai, manakala industri perlu terus membuka ruang kepada latihan, pengalaman sebenar dan peluang pekerjaan,” menurut MISC.

Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 3.30 petang esok.

-- BERNAMA