KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pasaran saham Malaysia kekal stabil ketika ini, disokong oleh dasar kerajaan yang telus serta polisi yang kondusif bagi menggalakkan kemasukan dana asing, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata prestasi pasaran saham semasa mencerminkan kestabilan pasaran modal Malaysia meskipun berdepan perubahan dan ketidaktentuan geopolitik global.
“Kita akan melihat kadang-kadang saham itu akan naik dan menurun kerana terdapat banyak perkara yang berlaku di seluruh dunia, terutamanya sekarang berada dalam fasa keadaan geopolitik dunia banyak berubah.
“Tetapi yang pentingnya, dari segi pasaran saham di Malaysia, kita masih stabil dan kestabilan itu juga terjamin kerana kerajaan mempunyai dasar yang telus serta menyediakan polisi yang menyokong kemasukan dana dari luar,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang ingin tahu sama ada kejatuhan nilai saham melebihi RM1 bilion boleh menjejaskan ekonomi Malaysia serta faktor yang mendorong pelabur asing menarik keluar pelaburan.
Amir Hamzah turut berkata kestabilan pasaran saham terus disokong oleh kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi, susulan nilai pelaburan yang diluluskan di Malaysia.
-- BERNAMA