Am 08/10/2026 11:46 AM

Jerebu: Kesediaan Digital, Sokongan Komuniti Benteng Kelangsungan PdPR Di Johor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu: Kesediaan Digital, Sokongan Komuniti Benteng Kelangsungan PdPR Di Johor
Nadia Natasha Mhd Roslaile, 28

JOHOR BAHRU, 8 Okt (Bernama) -- Kesediaan digital guru, sokongan ibu bapa, serta keprihatinan kepimpinan akar umbi menjadi benteng utama memastikan sesi persekolahan di Johor berjalan lancar apabila lebih 600,000 murid beralih ke Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan penutupan sekolah akibat jerebu, hari ini.

Tinjauan Bernama di beberapa daerah mendapati premis persekolahan lengang dan mematuhi pekeliling penutupan sekolah selama dua hari bermula hari ini. Sesi pembelajaran di ruang maya bagaimanapun tetap berjalan lancar hasil penglibatan kolektif pelbagai pihak.

Di Mersing, guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Endau, Nadia Natasha Mhd Roslaile, 28, berkata pengalaman mengendalikan PdPR sejak menjalani praktikum pada 2020 memudahkan penyesuaian kaedah pengajaran dibuat secara serta-merta.

“Setakat ini, sebahagian besar murid memberikan maklum balas baik. Capaian Internet yang semakin kukuh membolehkan bahan pembelajaran disampaikan menerusi WhatsApp, e-mel Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), dan Google Classroom yang membolehkan penglibatan murid dipantau,” katanya.

DELIMa merupakan pelantar pembelajaran dalam talian yang menyediakan sistem pengurusan pembelajaran serta bahan rujukan untuk kegunaan guru dan murid menerusi peranti berinternet.

Di Batu Pahat pula, peranan memastikan keselamatan dan kelangsungan pendidikan murid tidak diserahkan kepada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) semata-mata.

Ketua Kampung Pekan Parit Sulong, Shuhaimi Abd Hamid, mengambil inisiatif menyebar luas maklumat penutupan sekolah menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram, selain melakukan rondaan kawasan pada sebelah pagi.

“Saya membuat rondaan bagi memastikan tiada anak-anak berkeliaran di luar rumah. Penutupan sekolah ini penting bagi melindungi mereka daripada pendedahan risiko kesihatan akibat jerebu,” jelasnya.

Bagi golongan ibu bapa, penyediaan fasiliti di rumah menjadi keutamaan. Seorang kerani, Norazimah Md Ismail, 46, memastikan peranti digital serta capaian Wi-Fi di rumah berada dalam keadaan optimum sebelum beliau keluar bekerja bagi kemudahan anak-anaknya berusia 13 dan 16 tahun mengikuti PdPR.

Dalam pada itu, Yang Dipertua PIBG SK Parit Sulong, Muhadir Abdullah, menegaskan pihak pengurusan sekolah dan PIBG akan terus memanfaatkan pelbagai saluran komunikasi fizikal mahupun dalam talian bagi memastikan maklumat rasmi sampai kepada seluruh ibu bapa secara berterusan.

Penutupan sekolah berkenaan melibatkan kesemua 1,198 sekolah serta 617,258 murid di seluruh negeri Johor.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Dr Muhammad Naqib Md Ghazali memaklumkan bahawa semua sekolah di negeri Johor ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Okt.

Keputusan penutupan itu dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, sebagai langkah berjaga-jaga demi menjaga keselamatan dan kesihatan murid berikutan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu di seluruh daerah.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Kerajaan Negeri Johor menyeru para majikan agar memberikan pertimbangan dan fleksibiliti bersesuaian kepada ibu bapa terkesan yang perlu bekerja.

Pelaksanaan sebarang pentaksiran termasuk Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) pula akan ditangguhkan dan dijadualkan semula oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta pihak berkaitan sepanjang tempoh PdPR ini.

-- BERNAMA