OPR : Pembaharuan Struktur Makin Penting Sebagai Pemacu Pertumbuhan Malaysia
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Langkah Bank Negara Malaysia’s (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini, hanya membuktikan kepentingan aspek pembaharuan struktur yang semakin ketara serta dasar pelaburan bagi memacu pertumbuhan jangka panjang.
Tindakan itu juga, kata ahli ekonomi, berkait rapat dengan peranan dasar monetari sebagai asas yang stabil bagi pengembangan ekonomi Malaysia.
BNM telah memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus dalam mesyuarat ketujuh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini selain berpendapat pendirian dasar monetari semasa adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata walaupun OPR kekal sebagai instrumen penting untuk mengekalkan kestabilan makroekonomi, pembaharuan yang bertujuan memperkukuh produktiviti, daya saing serta ekosistem pelaburan juga dianggap berperanan lebih besar dalam menentukan potensi pertumbuhan jangka panjang Malaysia.
“OPR terus menjadi mekanisme penting bagi mengekalkan kestabilan harga selain menyokong pertumbuhan yang mampan. Bagaimanapun, pertumbuhan jangka sederhana sehingga jangka panjang Malaysia makin bergantung kepada pembaharuan struktur berbanding dasar monetari semata-mata,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek juga menyifatkan inisiatif seperti pengukuhan ekosistem pelaburan, mempercepat pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional, meningkatkan infrastruktur dan kemahiran tenaga kerja, pelaksanaan pembaharuan fiskal serta menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai tinggi, turut memberi pengaruh lebih besar terhadap produktiviti dan transformasi ekonomi Malaysia berbanding dasar monetari semata-mata.
Beliau berkata faktor kadar faedah yang stabil juga seiringan serta melengkapi usaha Malaysia dalam menarik pelaburan industri berintensifkan modal, termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan pembuatan maju dengan menyediakan kepastian lebih jelas terhadap kos pembiayaan.
Pada masa sama, Mohd Sedek berkata pelabur turut meneliti faktor lain seperti kualiti infrastruktur, tenaga mahir, kecekapan pengawalseliaan, kebolehpercayaan tenaga dan insentif kerajaan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.
“Kadar faedah yang stabil misalnya memberi pelabur kejelasan lebih ketara berkaitan kos pembiayaan dan pulangan pelaburan, terutama bagi sektor berintensifkan modal jangka panjang seperti AI, semikonduktor dan pembuatan maju.
“Atas alasan itu, kestabilan OPR ini hanya melengkapkan lagi ekosistem pelaburan Malaysia secara meluas berbanding peranan sebagai tarikan utama,” katanya.
Menyentuh prospek dasar, Mohd Sedek menjangkakan BNM kekal berhati-hati dan akan terus menilai data ekonomi akan datang di tengah-tengah ketidaktentuan melibatkan geopolitik global sera harga komoditi.
Pada masa sama, beliau berkata inflasi akan terus kekal sebagai petunjuk penting yang dapat mempengaruhi sebarang perubahan dalam dasar monetari.
Atas alasan itu, BNM berkemungkinan besar mengekalkan OPR bagi tempoh berbaki 2026 jika tekanan harga terus terkawal dan pertumbuhan ekonomi kekal berdaya tahan.
“Memandangkan ketidaktentuan berkaitan geopolitik global serta harga komoditi yang ketara, tiada sebarang alasan untuk sama ada memperketat atau melonggarkan dasar sedia ada pada masa ini.
“Sehubungan itu, BNM berkemungkinan terus bergantung kepada data dan menilai kemajuan ekonomi akan datang dengan berhati-hati sebelum membuat sebarang pelarasan dasar.
“Selagi inflasi kekal terkawal dan pertumbuhan berdaya tahan, kami menjangkakan OPR kekal tidak berubah pada 2.75 peratus sehingga akhir 2026,” katanya.
BNM dijadual mengadakan dua lagi mesyuarat MPC pada tahun ini bagi menyemak semula OPR yang dikekalkan pada 2.75 peratus sejak 9 Julai 2025.
-- BERNAMA