09/07/2026 08:59 PM

Malaysia, Thailand Perkukuh Kerjasama Pertanian

BANGKOK, 9 Julai (Bernama) -- Thailand dan Malaysia bersetuju pada Khamis  untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pertanian dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang merangkumi keterjaminan makanan, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan.

Kedua-dua negara turut menyelesaikan isu akses pasaran tertunggak melibatkan udang dan ikan siakap, sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian dan perikanan.

Perjanjian berkenaan merupakan antara hasil utama rundingan dua hala antara Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya pada Khamis.

Jurucakap Kerajaan Thailand Ratchada Thanadirek berkata kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran MoU itu yang meliputi kerjasama dalam sektor tanaman, ternakan, perikanan, penyelidikan, pemindahan teknologi, pembangunan modal insan dan keterjaminan makanan.

Beliau berkata kedua-dua kerajaan juga mengarahkan menteri pertanian masing-masing untuk mempercepat usaha meningkatkan akses pasaran bagi produk pertanian dan perikanan, sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk memperkukuh perdagangan dua hala serta keterjaminan makanan.

"Menteri pertanian kedua-dua negara juga telah menyelesaikan isu tertunggak melibatkan perdagangan udang dan ikan siakap serta akan mempercepat pelaksanaan langkah-langkah yang dipersetujui bagi menangani kebimbangan para petani," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Selain sektor pertanian, Ratchada berkata Thailand dan Malaysia bersetuju untuk memperdalam kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan, infrastruktur dan keselamatan bagi mewujudkan peluang ekonomi yang lebih besar serta meningkatkan taraf hidup rakyat di kedua-dua negara.

Beliau berkata kedua-dua kerajaan turut mengulangi komitmen mereka untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak US$30 bilion dalam masa terdekat, di samping memperkukuh kerjasama rantaian bekalan dalam keterjaminan makanan, tenaga dan industri berteknologi tinggi.

Ratchada berkata Anutin telah mengarahkan agensi berkaitan untuk melaksanakan perjanjian yang dicapai dalam rundingan itu dengan segera, selain memuktamadkan memorandum persefahaman dua hala yang masih tertangguh sebagai persediaan menyambut ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Thailand dan Malaysia pada 2027.

Anutin tiba di Malaysia pada Khamis untuk lawatan rasmi selama dua hari atas undangan Anwar. Ia merupakan lawatan dua hala sulung beliau ke Malaysia sejak dilantik semula pada Mac 2026.

Pada Jumaat (10 Julai), Anwar dan Anutin dijadual melakukan lawatan bersama ke Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk merasmikan pembukaan jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand.

-- BERNAMA