Anwar Jelajah Lima Lokasi Esok, Tekad Menangkan Calon PH Di Johor
JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim terus melancarkan gerak gempur kemuncak di lima lokasi strategik esok, demi memenangkan calon-calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, yang berlangsung Sabtu ini.
Menerusi siri jelajah bertenaga itu, beliau akan merentasi beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula dengan program Sentuhan Sahabat MADANI di Bukit Gambir, Tangkak pada 3.50 petang sebelum beralih ke Bukit Batu, Kulai kira-kira 6 petang.
Memasuki fasa penutup malam esok, Perdana Menteri dijadual menghadiri program Grand Finale DUN Layang-Layang di Simpang Renggam pada 8.15 malam disusuli Festival Muzik Johor Bahru di pekarangan Perling Mall pada 9.30 malam.
Kempen hari terakhir itu akan diakhiri dengan Program Grand Finale Johor Ke Depan, Undi Harapan PRN Johor di Pasir Gudang pada 10.30 malam.
“Insya-Allah, hari terakhir berkempen di Johor esok bagi memenangkan calon-calon Harapan.
“Saya sekali lagi mengajak seluruh warga Johor untuk ikut serta dalam gelombang perubahan sekali gus menjelmakan harapan baru untuk rakyat dan masa depan negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tempoh berkempen bagi PRN Johor, yang bermula sejak hari penamaan calon pada 27 Jun lepas, akan berakhir tepat 11.59 malam esok.
Sabtu ini, sejumlah 2.7 juta pemilih dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih 56 wakil rakyat.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Anwar Mahu Rakyat Tolak Perkauman, Utamakan Perpaduan
- PGA Tahan Lelaki, Rampas Tujuh Ekor Lembu Seludup Bernilai RM192,000
- PRN Johor: Teo Persoal Tujuan Sebenar Pelantikan ADUN Lantikan Johor
- Perdagangan Dua Hala ASEAN-India Cecah US$128 Bilion
- KWAP Imbang Pendekatan Pelaburan, Perkukuh Pemantauan Syarikat Pemula Niaga -- MOF