Am 08/10/2026 10:11 PM

Anwar Ucap Takziah Kepada Keluarga Tiga Beradik Maut Kemalangan Di Pontian

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Anwar Ucap Takziah Kepada Keluarga Tiga Beradik Maut Kemalangan Di Pontian

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Parit Haji Sirat, Pontian, Johor, hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada seluruh keluarga mangsa serta mendoakan mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian itu.

"Semoga roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah," kata beliau.

Dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi tadi, tiga beradik berusia antara lapan hingga 18 tahun itu maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan semasa dalam perjalanan dari Jalan Parit Haji Omar menuju ke Kayu Ara Pasong, dalam situasi jerebu.

Ketiga-tiga beradik itu dilaporkan dalam perjalanan pulang selepas mendapati sekolah ditutup, susulan dua daripada mereka yang masih bersekolah tetap mahu ke sekolah walaupun telah dimaklumkan ditutup hari ini akibat jerebu.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintenden Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata pembonceng berusia lapan dan 11 tahun maut di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal berusia 18 tahun meninggal dunia di Hospital Pontian. 

Kemalangan menyebabkan pemandu lori berusia 69 tahun mengalami kecederaan pada tangan dan kedua-dua lutut.

-- BERNAMA