ISKANDAR PUTERI, 8 Okt (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat kemenangan bergaya selepas membelasah PKR Svay Rieng FC 6-0 pada aksi Kumpulan B saingan Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2026/2027 di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.
JDT bermula garang dan hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh, namun percubaan penyerang Jairo da Silva selepas menerima hantaran Oscar Arribas sekadar menggegar palang gol, sebelum percubaan susulan pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi turut tersasar.
Penjaga gol kelab dari Kemboja itu, Dara Vireak juga berjaya menepis percubaan jarak jauh Molina Martinez pada minit ke-36.
Serangan berterusan skuad Harimau Selatan membuahkan hasil apabila Arif Aiman memecah kebuntuan pada minit ke-39 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti hasil umpanan pemain sayap Marcos Guilherme.
Bersambung babak kedua, JDT terus mengukuhkan kedudukan apabila Marcos Guilherme mencetak nama sebagai penjaring gol kedua pada minit ke-51 selepas menyempurnakan hantaran Jairo da Silva.
Pemain pertahanan JDT, Kevin Medina menambah derita pasukan pelawat sepuluh minit kemudian menerusi tandukan mudah bagi menjaringkan gol ketiga.
Pasukan pelawat cuba bangkit merapatkan jurang menerusi penyerang Martins Junior pada minit ke-64, namun sepakannya ditangkap kemas penjaga gol JDT Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Penyerang Shahab Zahedi terus menambah derita pasukan pelawat apabila menyempurnakan peluang dalam kotak penalti untuk gol keempat JDT pada minit ke-70, sebelum Muhammad Daniesh Amiruddin tampil mencuri perhatian dengan dua jaringan pantas pada minit ke-75 dan 76.
Keputusan 6-0 kekal sehingga tiupan wisel penamat.
-- BERNAMA