KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan esok memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pembangunan luar bandar secara menyeluruh, khususnya penyediaan infrastruktur asas, lonjakan sosioekonomi serta kesejahteraan masyarakat desa.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak antara keutamaan kementerian kerana kedua-dua negeri berkenaan berdepan cabaran geografi, topografi dan logistik yang memerlukan kos pembangunan lebih tinggi.
Beliau berkata meskipun pembangunan luar bandar dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara, masih terdapat kawasan pedalaman dan kampung terpencil yang memerlukan kemudahan asas, termasuk jalan raya, bekalan air, elektrik serta lampu jalan bagi meningkatkan kualiti kehidupan penduduk.
“Sebenarnya untuk melaksanakan pembangunan di Sabah dan Sarawak memang memerlukan kos yang tinggi. Sebab dari sudut topografi, geografi dan logistik banyak cabaran.
“Sudah semestinya kami memerlukan peruntukan yang agak banyak untuk memastikan kesalinghubungan kawasan-kawasan di Sabah dan Sarawak ini dapat ditingkatkan,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.
Rubiah berkata bagi merapatkan jurang berkenaan, KKDW memperluas pelaksanaan projek berimpak segera menerusi Program Jalan Perhubungan Desa (JPD), pembinaan jalan ladang, pemasangan lampu jalan solar LED serta menaik taraf kemudahan awam seperti jambatan, jeti dan balai raya.
Selain itu, beliau berkata penempatan masyarakat Orang Asli turut menjadi perhatian, khususnya penyediaan bekalan air dan elektrik di kawasan terpencil, dengan KKDW berharap Kementerian Kewangan mempertimbangkan permohonan peruntukan bagi memperluas kemudahan berkenaan.
Selain pembangunan fizikal, Rubiah berkata KKDW menumpukan usaha pemerkasaan ekonomi luar bandar menerusi sektor keusahawanan, khususnya dalam kalangan belia dan wanita melalui penyediaan latihan, pembiayaan, bimbingan, pendigitalan serta akses pasaran.
Beliau berkata kementerian yang menaungi lebih 69,000 usahawan bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan agensi berkaitan itu turut mengemukakan cadangan menaik taraf premis perniagaan MARA dalam Belanjawan 2027 demi mewujudkan persekitaran perniagaan lebih selesa dan menarik.
“Kalau kita ada kos penambahbaikan dan gerai itu lebih ceria lagi, lebih menarik lagi, sudah semestinya… ia akan menjadi tumpuan kepada pembeli,” katanya, sambil menjelaskan premis berkenaan menawarkan kadar sewa berpatutan kepada usahawan, khususnya wanita.
Bagi memperluas pasaran produk tempatan, Rubiah berkata KKDW merancang untuk membangunkan Kompleks Usahawan Desa di Putrajaya sebagai pusat sehenti bagi menghimpunkan pelbagai produk usahawan luar bandar untuk promosi dan jualan terus.
Langkah pemasaran itu turut diperkukuh menerusi jalinan kerjasama dengan rangkaian peruncitan terkemuka, termasuk Petronas, selain pelaksanaan program K2 Global yang bertujuan membawa produk usahawan desa menembusi pasaran antarabangsa.
Menyentuh aspek kebajikan kediaman, Rubiah berkata kementerian mencadangkan penambahbaikan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang lebih mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU) menerusi reka bentuk rumah yang bersesuaian dengan keupayaan fizikal penghuni.
“Aspek berkenaan perlu diberikan perhatian kerana reka bentuk dan kemudahan rumah yang disediakan sebelum ini tidak semestinya memenuhi keperluan semua golongan, khususnya mereka yang memerlukan kemudahan akses tambahan.
“Semua perancangan berkenaan selaras dengan konsep Desa Berdaya, Rakyat Sejahtera yang menekankan pembangunan luar bandar secara holistik, bukan sahaja dari segi kemudahan fizikal tetapi juga peluang ekonomi, peningkatan pendapatan, kemahiran dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 3.30 petang esok, dan disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV serta platform media sosial agensi berita itu.
-- BERNAMA