Am 08/10/2026 10:21 PM

Pemergian Muhammad Haneef Kehilangan Besar Buat Keluarga Persilatan - Fadillah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pemergian Muhammad Haneef Kehilangan Besar Buat Keluarga Persilatan - Fadillah
kredit: FB Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pemergian Presiden Rumpun Silat Sarawak (RSS) Tuan Guru Muhammad Haneef Ali hari ini merupakan kehilangan besar buat seluruh keluarga persilatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham yang juga Guru Utama Seni Silat Helang Putih Perkasa Sarawak.

“Jasa, ilmu, bimbingan dan khidmat bakti Allahyarham akan sentiasa dikenang sampai bila-bila.

“Salam Takziah. Semoga seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi saat yang amat memilukan ini,” katanya.

Fadillah turut mendoakan agar Allahyarham diampunkan, dirahmati dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta mendapat keredaan Allah SWT. 

Menurut laporan DayakDaily yang memetik kenyataan RSS, Muhammad Haneef meninggal dunia pada 12.27 tengah pada usia 78 tahun.

Allahyarham yang dilahirkan di Miri mula mempelajari silat pada usia sembilan tahun dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung RSS dari 1987 hingga 2014 sebelum menerajui pertubuhan itu sebagai presiden hingga akhir hayatnya.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia persilatan, Allahyarham turut berkhidmat sebagai Naib Presiden II Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dari 1994 hingga 1996 serta sebagai pengadil dan juri kebangsaan.

Sumbangan Allahyarham turut diiktiraf menerusi Anugerah Jasamu Dikenang daripada PESAKA Malaysia pada 2024.

-- BERNAMA