09/07/2026 10:14 PM

Thailand, Malaysia Setuju Perkukuh Keselamatan Sempadan, Banteras Jenayah Rentas Sempadan

PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) -- Thailand dan Malaysia bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja bersama bagi menyelaraskan projek tembok keselamatan di sepanjang Sungai Golok, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama menentang jenayah rentas sempadan, kata Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul.

"Kami bersetuju untuk memperkukuh kerjasama bagi membanteras jenayah rentas sempadan di sepanjang perbatasan bersama kami," katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat dua hala mereka di Kompleks Perdana Putra pada Khamis.

Anutin tiba di Malaysia pada Khamis untuk lawatan rasmi selama dua hari atas undangan Anwar. Ia merupakan lawatan dua hala sulung beliau ke Malaysia sejak dilantik semula pada Mac 2026.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, Thailand dan Malaysia menyambut baik penubuhan jawatankuasa kerja bersama berkenaan di bawah Jawatankuasa Sempadan Wilayah (RBC).

Kedua-dua negara turut menegaskan semula komitmen mereka untuk memperkasa pengurusan sempadan serta meningkatkan kerjasama bagi memerangi jenayah terancang rentas sempadan, termasuk penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia, pengedaran dadah, serta penyeludupan hidupan liar dan balak.

Kedua-dua pihak juga menyambut baik perkongsian erat dalam kerjasama pertahanan dan keselamatan selain mengambil maklum kemajuan yang dicapai di bawah mekanisme dua hala sedia ada, termasuk Jawatankuasa Am Sempadan (GBC), Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) dan RBC.

Mereka bersetuju untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan dan keselamatan menerusi pertukaran lawatan secara berkala serta latihan bersama.

Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju untuk mempergiat penyelarasan antara Pejabat Sumber Air Kebangsaan Thailand dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia bagi memperkukuh kerjasama teknikal dalam ramalan dan pemantauan banjir di kawasan sempadan.

Mengenai kerjasama alam sekitar, kedua-dua perdana menteri mengulangi komitmen mereka untuk menangani isu merentas sempadan, termasuk mengurangkan pencemaran jerebu, mencegah pembakaran terbuka dan memulihara biodiversiti bersama di sepanjang sempadan, menurut kenyataan bersama itu.

Pemimpin berkenaan turut membincangkan perkembangan terkini di Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBP) dan berikrar untuk terus menyokong Proses Rundingan Damai yang bertujuan mencapai keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang berkekalan di rantau ini.

Anutin merakamkan penghargaan kepada Anwar atas peranan ikhlas dan membina yang dimainkan oleh Malaysia dalam memudahkan proses perdamaian berkenaan.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk memperkukuh kerjasama bagi mencegah tindakan keganasan dan membawa pelaku ke muka pengadilan.

-- BERNAMA