10/07/2026 12:08 AM

PRN Johor: Teo Persoal Tujuan Sebenar Pelantikan ADUN Lantikan Johor

PALOH, 9 Julai (Bernama) -- Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching hari ini mempersoalkan kewajaran serta motif sebenar kerajaan negeri Johor mewujudkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.

Teo yang juga Pengerusi DAP Wanita Kebangsaan berkata beliau bimbang mekanisme berkenaan boleh menjejaskan ketelusan sistem demokrasi kerana individu yang dilantik tidak melalui proses pemilihan oleh rakyat menerusi peti undi.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri memberikan penjelasan menyeluruh berhubung tujuan sebenar pewujudan jawatan tersebut bagi mengelakkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat, selain memastikan prinsip akauntabiliti dalam pentadbiran terus dipelihara.

“Kita perlu fikir baik-baik dan tanya diri sendiri. Kalau ADUN lantikan itu bukan diwujudkan untuk menjaga mereka yang kalah dalam PRN, jadi ADUN lantikan itu diwujudkan untuk bantu siapa? Untuk melantik siapa?

“Jadi, siapa yang akan mereka lantik, khasnya apabila mereka menerima banyak bantuan daripada PAS dalam PRN ini,” katanya ketika berucap pada Ceramah Grand Finale PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh di Bilik Gerakan Utama PH DUN Paloh di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Paloh, Dr Ruban Arumugam.

Pada 7 Mei lepas, Sidang DUN Johor meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan enakmen negeri yang membolehkan pelantikan sehingga lima ADUN bagi memperkukuh fungsi serta komposisi Dewan.

Sementara itu, Teo yang juga Timbalan Menteri Komunikasi mempertahankan rekod pencapaian Kerajaan Perpaduan yang menurutnya sedang melaksanakan reformasi sistem secara berperingkat, khususnya dalam bidang pendidikan dan kebajikan sosial.

Beliau mengakui pentadbiran Kerajaan MADANI masih mempunyai ruang penambahbaikan, namun menegaskan beberapa perubahan penting telah berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran semasa demi kepentingan rakyat.

“Saya tidak boleh kata Kerajaan Perpaduan mendapat 100 markah kerana memang bukan 100 markah. Masih banyak perkara yang boleh dibuat dengan lebih baik, tetapi dalam tempoh ini, kita telah membawa perubahan langkah demi langkah melalui sistem,” katanya.

Antara pencapaian yang diketengahkan beliau termasuk pemberian jaminan tempat dalam program matrikulasi kepada semua pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 10A tanpa mengira latar belakang, selain peluasan akses pendidikan kepada pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Beliau turut memaklumkan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) meningkat daripada RM12 juta pada 2019 kepada RM20.16 juta tahun ini.

“Semua ini ialah reformasi sistem yang bertujuan meninggalkan Malaysia dan generasi akan datang dengan sistem yang lebih kukuh. Demokrasi ialah perlumbaan jarak jauh, jadi pada 2026 ini kita perlukan sokongan semua,” katanya.

Sabtu ini, seramai 2.7 juta pemilih dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih 56 wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA