KWAP Imbang Pendekatan Pelaburan, Perkukuh Pemantauan Syarikat Pemula Niaga -- MOF
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan terus mengimbangi pendekatan pelaburannya termasuk memberi penekanan yang lebih besar kepada pelaburan melalui dana dan pengurus dana yang mempunyai kepakaran sektor, jaringan pasaran serta keupayaan pemantauan khusus.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pendekatan itu dapat membantu memperkukuh penyebaran risiko dan lapisan pemantauan terutamanya bagi pelaburan dalam syarikat tidak tersenarai dan syarikat pemula niaga.
“Dalam pelaburan syarikat pemula niaga, pertumbuhan pesat, strategi pengembangan agresif dan penggunaan modal yang tinggi merupakan antara faktor yang dipantau secara berterusan,” jelas MOF dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
MOF menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang bertanya mengenai kaedah KWAP memantau pelaburan dalam eFishery selepas Julai 2023.
Sebelum ini, media melaporkan pengasas bersama syarikat akuakultur Indonesia, eFishery, Gibran Huzaifah dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun atas kesalahan penyelewengan dan pengubahan wang haram sekali gus menutup skandal berprofil tinggi bernilai US$300 juta.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Anwar Mahu Rakyat Tolak Perkauman, Utamakan Perpaduan
- PGA Tahan Lelaki, Rampas Tujuh Ekor Lembu Seludup Bernilai RM192,000
- PRN Johor: Teo Persoal Tujuan Sebenar Pelantikan ADUN Lantikan Johor
- Perdagangan Dua Hala ASEAN-India Cecah US$128 Bilion
- KWAP Imbang Pendekatan Pelaburan, Perkukuh Pemantauan Syarikat Pemula Niaga -- MOF