09/07/2026 08:56 PM

Polis Tahan Lelaki Tempatan, Rampas Cecair Syabu Bernilai RM450,000

GEORGE TOWN, 9 Julai (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menumpaskan kegiatan memproses dan mengedar dadah dengan penahanan seorang lelaki tempatan serta merampas cecair syabu bernilai lebih RM450,000 di Nibong Tebal, dekat sini, Isnin lepas.

Ketua Polis negeri Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata suspek berusia 40 tahun ditahan kira-kira 9 malam hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang dan maklumat orang awam.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sembilan kilogram dadah jenis cecair syabu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan mereka yang terlibat.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu aktif menjalankan kegiatan memproses dan mengedar dadah sejak Mei lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata suspek juga didapati memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Lim berkata polis turut menyita pelbagai aset dipercayai milik suspek yang dianggarkan bernilai RM70,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Suspek direman sehingga 13 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dadah menerusi talian hotline JSJN 012-208 7222.

-- BERNAMA