Ahmad Zahid Cadang Kursus Kepimpinan, Politik Untuk MPP IPT
JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi pengajian tinggi disaran mengikuti kursus khas berkaitan kepimpinan dan politik bagi kefahaman lebih mendalam mengenai sistem demokrasi dan landskap politik negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendedahan itu penting dalam membentuk barisan pemimpin muda yang lebih matang dan memahami cabaran semasa negara.
Beliau berkata kerajaan bersedia membiayai pelaksanaan kursus berkenaan sekiranya mendapat permintaan daripada MPP di seluruh negara.
“Saya harap MPP membawa seluruh (ahli) MPP dengan kebenaran Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir… kita membiayai agar mereka dapat memasuki kursus kepimpinan supaya mereka terdedah dalam bidang politik untuk mencorakkan warna politik sebenar di tanah air,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada Program Khabar Siswa di Politeknik Sultan Ibrahim, Pasir Gudang di sini hari ini.
Pengerusi Barisan Nasional itu berkata golongan muda di Malaysia tidak semestinya perlu menceburi politik secara aktif namun mereka perlu mengambil tahu perkembangan politik semasa.
“Pengundi 18 tahun dan pengundi kali pertama tidak perlu terlibat dalam politik... kalau mahu terlibat, boleh... saya sendiri mula aktif dalam politik ketika menjadi pemimpin pelajar di Universiti Malaya.
“Yang penting, anak-anak muda mesti mengambil tahu tentang politik walaupun tidak mahu terlibat. Jangan sia-siakan peluang mengundi kerana undi penentu itu penting untuk menentukan jatuh bangunnya sesebuah parti politik,” katanya.
Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya membuat pilihan secara bijak apabila tiba masa mengundi khususnya dalam menentukan kepimpinan yang mampu membawa kemajuan kepada negeri.
Johor, yang mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri, sedang melalui proses Pilihan Raya Negeri ke-16, dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PGA Tahan Lelaki, Rampas Tujuh Ekor Lembu Seludup Bernilai RM192,000
- PRN Johor: Teo Persoal Tujuan Sebenar Pelantikan ADUN Lantikan Johor
- Perdagangan Dua Hala ASEAN-India Cecah US$128 Bilion
- KWAP Imbang Pendekatan Pelaburan, Perkukuh Pemantauan Syarikat Pemula Niaga -- MOF
- Hutang Statutori Kerajaan 2026 Diunjur Kekal Bawah 65 Peratus Daripada KNDK