Hutang Statutori Kerajaan 2026 Diunjur Kekal Bawah 65 Peratus Daripada KNDK
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Paras hutang statutori Kerajaan Persekutuan setelah mengambil kira keperluan pinjaman pada 2026 diunjurkan masih di bawah 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK), menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Kementerian itu memberitahu dari perspektif pengurusan hutang, kerajaan sentiasa memastikan paras hutang sentiasa berada di bawah paras statutori yang ditetapkan.
“Susulan daripada konflik geopolitik di Asia Barat, kerajaan memantau situasi ekonomi semasa melalui pelaksanaaan sesi libat urus berterusan secara mingguan melalui Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
“Sesi libat urus itu dilaksanakan dengan tumpuan untuk memastikan bekalan tenaga dan keperluan asas kekal terjamin, kos kepada rakyat tidak meningkat secara mendadak dan membina daya tahan ekonomi negara untuk jangka panjang,” jelas MOF dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang bertanya mengenai unjuran kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan sehingga akhir 2026 termasuk anggaran hasil kerajaan, defisit fiskal, komitmen hutang serta jumlah keseluruhan perbelanjaan subsidi.
Pada masa yang sama, kementerian itu menyatakan, kerajaan turut mengambil beberapa langkah kawalan bagi mengoptimumkan perbelanjaan merentasi kementerian dan agensi kerajaan.
Menurut MOF, berhubung unjuran fiskal 2026, semakan semula kepada unjuran fiskal 2026 akan diumumkan semasa Belanjawan 2027 setelah mengambil kira petunjuk ekonomi terkini selain prestasi kutipan hasil dan perbelanjaan sehingga separuh pertama 2026.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Anwar Mahu Rakyat Tolak Perkauman, Utamakan Perpaduan
- PGA Tahan Lelaki, Rampas Tujuh Ekor Lembu Seludup Bernilai RM192,000
- PRN Johor: Teo Persoal Tujuan Sebenar Pelantikan ADUN Lantikan Johor
- Perdagangan Dua Hala ASEAN-India Cecah US$128 Bilion
- KWAP Imbang Pendekatan Pelaburan, Perkukuh Pemantauan Syarikat Pemula Niaga -- MOF