Myanmar : PM Anwar Sokong Pendekatan Libat Urus Berkesan, Lihat Peranan Utama Thailand
PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) -- Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa krisis di Myanmar harus diselesaikan menerusi libat urus yang berkesan dan Thailand boleh memainkan peranan penting untuk menangani krisis yang berpanjangan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke sini pada Khamis, Anwar berkata Malaysia percaya rakyat Myanmar perlu diberikan kebebasan menentukan masa depan mereka sendiri.
Thailand sebagai jiran terdekat dan rakan serantau yang penting bagi Myanmar, boleh memainkan peranan utama dalam memajukan usaha menangani krisis berkenaan.
"Saya juga amat gembira mendengar pandangan Perdana Menteri (Anutin) mengenai Myanmar, kerana kami di Malaysia berpandangan bahawa cara terbaik untuk menyelesaikan isu berlarutan ini adalah menerusi libat urus yang berkesan dan membenarkan rakyat Myanmar membuat keputusan sendiri," katanya.
Terdahulu, Anwar mengadakan perbincangan dua hala dengan Anutin di Kompleks Perdana Putra di sini.
Krisis di Myanmar merupakan agenda utama ASEAN sejak pengambilalihan kuasa oleh tenetra pada 2021, dengan bolk serantau itu terus menggalakkan dialog dan melaksanakan Konsensus Lima Perkara.
Mengenai isu sempadan Thailand-Kemboja, Anwar menzahirkan penghargaan atas komitmen Thailand dalam mengekalkan keamanan di rantau ini.
"Saya amat menghargai pendirian kolaboratif beliau (Anutin) dalam memastikan keamanan berterusan berhubung isu sempadan, dan kami sudah tentu akan terus mendengar serta bertukar pandangan," katanya.
Anwar berkata Malaysia mempunyai keyakinan terhadap kebijaksanaan pemimpin-pemimpin terlibat untuk menyelesaikan isu berkenaan secara aman sekali gus memastikan ASEAN kekal sebagai rantau yang stabil dan harmoni.
Anutin tiba pada Khamis bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari atas undangan Anwar. Ia merupakan lawatan dua hala sulung beliau ke Malaysia sejak dilantik semula pada Mac 2026.
Pada Jumaat, Anwar dan Anutin dijadual melakukan lawatan bersama ke Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk merasmikan pembukaan jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Sejajar Dengan Emas COMEX Yang Lebih Kukuh
- Badan Khas Diperlukan Tangani Buli, Gengsterisme Di Sekolah - NGO
- OPR : Pembaharuan Struktur Makin Penting Sebagai Pemacu Pertumbuhan Malaysia
- Unit Hartanah Kenyalang Raih Kontrak Wisma JKR Sarawak Bernilai RM283.9 Juta
- Anak Syarikat Exsim Hospitality Raih Kontrak Kerja Reka Bentuk Dalaman Bernilai RM63.5 Juta