Badan Khas Diperlukan Tangani Buli, Gengsterisme Di Sekolah - NGO
SEMPORNA, 9 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) disaran menubuhkan badan khas atau agensi khusus bagi memantau keselamatan serta kebajikan pelajar di sekolah, sekali gus membantu mengurangkan beban guru dalam menangani isu disiplin, menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa.
Pengerusi Yayasan Pendidikan dan Kebajikan Asia Tenggara (SEAWEED) Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata badan berkenaan boleh diletakkan di bawah KPM atau beroperasi secara bebas dengan kuasa serta bidang tanggungjawab tersendiri.
Beliau berkata pendekatan itu bukan sesuatu yang baharu kerana beberapa negara termasuk United Kingdom dan Australia mempunyai badan khas, agensi tertentu atau sistem perundangan khusus bagi memantau keselamatan pelajar di sekolah.
Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau berkata penubuhan badan itu dapat memastikan aspek keselamatan pelajar dipantau secara lebih sistematik dan tidak hanya bergantung kepada pihak sekolah.
Beliau berkata badan berkenaan juga boleh berperanan membantu menangani isu disiplin, buli dan gengsterisme yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan pelajar.
Mustapha berkata kes buli yang mengakibatkan kecederaan dalam kalangan pelajar perlu dipandang serius dan memerlukan tindakan segera serta berkesan bagi memperkukuh tahap keselamatan di sekolah.
Beliau berkata kajian menyeluruh mengenai kes buli perlu dilaksanakan dengan segera, termasuk mengambil kira aspek kesihatan mental pelajar yang terlibat.
Selain itu, beliau mencadangkan pemeriksaan beg pelajar dilakukan secara berkala sebagai langkah pencegahan bagi memastikan tiada senjata tajam atau peralatan berbahaya dibawa masuk ke sekolah.
“Pemeriksaan berkala beg pelajar juga perlu dilaksanakan supaya tiada senjata tajam seperti pisau atau peralatan lain dibawa ke sekolah yang boleh mengancam keselamatan pelajar,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PGA Tahan Lelaki, Rampas Tujuh Ekor Lembu Seludup Bernilai RM192,000
- PRN Johor: Teo Persoal Tujuan Sebenar Pelantikan ADUN Lantikan Johor
- Perdagangan Dua Hala ASEAN-India Cecah US$128 Bilion
- KWAP Imbang Pendekatan Pelaburan, Perkukuh Pemantauan Syarikat Pemula Niaga -- MOF
- Hutang Statutori Kerajaan 2026 Diunjur Kekal Bawah 65 Peratus Daripada KNDK