Saman USD346 Juta 1MDB: Permohonan Injunksi Mareva Terhadap Rosmah 28 Sept, Bicara Penuh Bermula Jun 2027
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kes saman difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 10 syarikat lain terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembelian barangan mewah berjumlah lebih USD346 juta yang didakwa diperoleh daripada dana 1MDB yang diselewengkan, akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini bermula 28 Jun tahun depan.
Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam, yang mewakili Rosmah berkata pada prosiding pengurusan kes itu semalam, Pesuruhjaya kehakiman Datuk Muhammad Adam @ Edward Abdullah menetapkan 28 Jun hingga 2 Julai, 5 Julai hingga 9 Julai dan 19 Julai hingga 30 Julai 2027.
"Mahkamah juga menetapkan 28 Sept ini untuk mendengar permohonan meminda writ saman dan permohonan injunksi Mareva," kata peguam itu ketika dihubungi hari ini.
Injunksi Mareva ialah perintah sementara yang menghalang isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu daripada melupuskan aset berjumlah USD346 juta sama ada dalam bentuk kredit, saham syarikat, hartanah atau lain-lain sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.
Saman yang difailkan pada 9 Mei 2024 itu melibatkan 1MDB dan lima anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited serta SRC International Sdn Bhd.
Lima lagi syarikat terlibat ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.
Kesemua plaintif memohon perintah mahkamah supaya Rosmah membayar sebanyak USD346,010,489 atau jumlah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Mereka turut memohon pengisytiharan bahawa plaintif pertama hingga keenam adalah pemilik sah barangan mewah yang didakwa berada dalam milikan Rosmah.
Pada peringkat awal, saman itu menamakan Rosmah dan wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Bagaimanapun, pada April 2025, 1MDB bersama syarikat terbabit menarik balik saman terhadap Shabnam.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Tiang Gesa Penambahbaikan Segera Sistem Parkir Pintar SMC Cares
- Hanya Satu Sindiket Penipuan Didalangi Warga China Dikesan Beroperasi Di Kelantan
- Wakil Calon PH Machap Buat Laporan Polis Dakwa MB Johor Langgar Peraturan Kempen
- Sentimen Negeri, Kaum DanĀ Agama Boleh Gugat Keselamatan Negara, Tangani Secara Berhemah - PM
- 34 Warga Tempatan Didakwa Berkaitan Kesalahan Kenderaan Libatkan Warga Asing Sejak 2023