Tiang Gesa Penambahbaikan Segera Sistem Parkir Pintar SMC Cares
SIBU, 9 Julai (Bernama) -- Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee menggesa penambahbaikan segera terhadap Sistem Parkir Pintar SMC Cares susulan pelbagai aduan orang ramai berhubung kesukaran menggunakan aplikasi itu.
Beliau berkata maklum balas penduduk Sibu menunjukkan masih terdapat kelemahan teknikal dan operasi yang menjejaskan pengalaman pengguna selain ada dakwaan penguat kuasa lebih menumpukan kepada pengeluaran kompaun berbanding membantu pengguna menggunakan sistem itu.
Antara isu dibangkitkan ialah proses pendaftaran aplikasi yang rumit terutama untuk warga emas, aplikasi kurang mesra pengguna, prestasi sistem yang perlahan, log keluar secara automatik, kelewatan pembayaran dan pengguna dikompaun ketika dalam proses membuat pembayaran.
“Jika sesuatu sistem masih belum benar-benar mesra pengguna, usaha penambahbaikan perlu diteruskan sehingga ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya menjadi beban tambahan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, Tiang berkata telah meminta Majlis Perbandaran Sibu (SMC) dan penyedia sistem supaya melaksanakan penambahbaikan segera.
Antara langkah yang dicadangkan ialah memperkenalkan tempoh bertenang yang munasabah bagi membolehkan pemandu melengkapkan pembayaran selepas meletakkan kenderaan dan memastikan pengguna tidak dipertanggungjawabkan jika kelewatan berpunca daripada masalah sistem.
Beliau turut meminta penyedia sistem menyelesaikan segera masalah teknikal termasuk prestasi aplikasi yang perlahan, log keluar secara automatik dan kelewatan transaksi pembayaran.
Tiang juga meminta pegawai penguat kuasa mengutamakan pendekatan mendidik dan membantu pengguna, khususnya warga emas serta pengguna kali pertama sebelum mengambil tindakan penguatkuasaan.
Beliau berkata orang ramai yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan khidmat di Perpustakaan Awam, kaunter SMC, talian bantuan atau Pusat Khidmat N.54 Pelawan bagi urusan memuat turun aplikasi, pendaftaran akaun, penambahan e-dompet dan panduan pembayaran.
Mengenai kompaun yang telah dikeluarkan, beliau berkata SMC diminta menyemak semula kes yang berpunca daripada masalah sistem dan mempertimbangkan pengecualian kompaun jika ia disahkan berpunca daripada sistem.
-- BERNAMA
Berita terkini
- “Saya Tidak Beli Kereta BMW Baharu”- PM Anwar
- Thailand, Malaysia Setuju Perkukuh Keselamatan Sempadan, Banteras Jenayah Rentas Sempadan
- Filipina Anjur Mesyuarat Menteri Luar ASEAN, Rundingan Myanmar Julai Ini
- Legasi Maturidi Kekal Penting Dalam Menangani Fahaman Mazhab, Ekstremisme - Zulkifli
- TDM Laksana Eksesais KERIS STRIKE Di Kota Belud Esok