09/07/2026 10:14 PM

Legasi Maturidi Kekal Penting Dalam Menangani Fahaman Mazhab, Ekstremisme - Zulkifli

Daripada Zarul Effendi Razali

SAMARKAND (Uzbekistan), 9 Julai (Bernama) -- Malaysia menegaskan kerelevanan berterusan ajaran Imam Abu Mansur al-Maturidi yang bersifat rasional dan sederhana dalam membimbing masyarakat Islam menangani konflik ideologi, fahaman mazhab serta perpecahan budaya dalam dunia yang semakin terpolarisasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata tradisi Maturidi menawarkan jalan tengah yang amat diperlukan untuk mempromosikan perpaduan tanpa menuntut keseragaman, selain membolehkan umat Islam kekal setia kepada prinsip Islam dan terlibat secara membina dengan masyarakat moden.

Beliau berkata tradisi itu mengajar bahawa perbezaan tidak semestinya membawa kepada perpecahan dan membolehkan umat Islam mengambil bahagian dengan yakin dalam kehidupan sosial, intelektual serta institusi tanpa menjejaskan akidah mereka.

Menteri berkenaan berkata demikian dalam ucapannya semasa sesi pembukaan persidangan bertajuk "The Legacy of Imam al-Maturidi: A Foundation of Moderation, Tolerance and Enlightenment" yang diadakan sempena Forum Tamadun Islam Antarabangsa Pertama di sini pada Khamis.

Imam al-Maturidi merupakan antara ahli teologi Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang paling berpengaruh dan pengasas pemikiran teologi Maturidi, iaitu satu daripada dua pemikiran utama akidah Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah selain pemikiran Ash'ari.

Dilahirkan di Maturid, berhampiran Samarkand di Uzbekistan hari ini, beliau disegani secara meluas kerana menyelaraskan antara akal dan wahyu, serta menegaskan bahawa penyelidikan secara rasional memperkukuh dan bukannya melemahkan keimanan.

"Legasi ini juga amat penting pada masa sebahagian daripada dunia Islam terus berdepan cabaran ajaran sesat, permusuhan mazhab, kecenderungan ‘takfiri’, ‘ghuluw’ (melampaui batas) dan ekstremisme," kata Zulkifli.

Beliau menambah bahawa dalam hal ini, sumbangan Imam al-Maturidi bukan sekadar dalam bentuk doktrin, tetapi amat mendalam dari sudut etika. Beliau menentang sekeras-kerasnya kecenderungan untuk memulaukan sesama Muslim berhubung perkara yang masih terbuka kepada tafsiran ulama.

"Kaedah beliau memperkukuh perpaduan ummah dengan menekankan keadilan, belas kasihan dan kebijaksanaan, di samping menolak sekeras-kerasnya taasub dan ekstremisme," katanya.

Zulkifli berkata legasi intelektual Imam al-Maturidi adalah sama penting dalam mempersiapkan generasi muda untuk mengemudi zaman yang ditandai dengan lambakan maklumat, propaganda media sosial dan dakwaan agama yang palsu.

Beliau berkata pendekatan rasional dan analisis tokoh itu melengkapkan belia Muslim dengan daya tahan intelek untuk membezakan kebenaran daripada herotan, keyakinan daripada manipulasi serta ajaran agama yang sahih daripada naratif ekstremis.

Menteri itu berkata pengalaman Malaysia sendiri menunjukkan kaitan berterusan tradisi Maturidi, sambil mengambil maklum bahawa masyarakat negara itu yang berbilang kaum, agama dan budaya memerlukan satu rangka kerja yang mengimbangi identiti Islam yang teguh dengan keamanan bersama serta saling menghormati.

Beliau turut mengetengahkan pengaruh sejarah yang mendalam daripada pemikiran Maturidi terhadap dunia Melayu-Islam, dengan memetik penemuan manuskrip Melayu tertua yang diketahui - iaitu terjemahan Melayu abad ke-16 bagi kitab “al-'Aqa'id al-Nasafiyyah”, sebuah teks asas tradisi teologi Maturidi.

Menurut menteri berkenaan, manuskrip itu membuktikan bahawa Islam di alam Melayu berkembang menerusi tradisi yang berakar umbi dalam kesederhanaan, kejelasan intelek, pemikiran yang berdisiplin dan fahaman ortodoks Ahli Sunnah Wal Jamaah, dan bukannya melalui rangka kerja yang sempit atau antiintelektual.

"Sebab itulah tugas di hadapan kita bukan sekadar untuk meraikan Imam al-Maturidi, tetapi menterjemahkan legasi beliau ke dalam institusi, pendidikan dan budaya awam.

"Kita mesti memupuk generasi yang yakin dari segi intelek, teguh kerohaniannya dan bertanggungjawab dari segi etika - generasi yang memahami Islam bukan sebagai slogan kemarahan, tetapi sebagai sumber belas kasihan, keseimbangan dan kebijaksanaan," katanya.

-- BERNAMA