TDM Laksana Eksesais KERIS STRIKE Di Kota Belud Esok
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Tentera Darat Amerika Syarikat dan Tentera Darat Australia akan melaksanakan Eksesais KERIS STRIKE Siri 31/2026 di sekitar Kota Belud, Sabah, bermula esok hingga 27 Julai ini.
TDM dalam kenyataan memaklumkan eksesais tahunan itu bertujuan meningkatkan tahap kebolehoperasian dan keupayaan operasi bersama, selain menjadi platform strategik untuk memperkukuh diplomasi ketenteraan dengan negara sahabat.
"Eksesais itu juga akan melonjakkan tahap kesiagaan TDM dalam mendepani sebarang ancaman keselamatan serantau yang bersifat dinamik," menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut TDM, konvoi ketenteraan akan menggunakan laluan Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud sepanjang tempoh eksesais berkenaan.
"Sehubungan itu, pengguna jalan raya diminta berhati-hati serta tidak cemas atau panik apabila melihat kehadiran anggota tentera asing, pergerakan konvoi aset ketenteraan serta sebarang aktiviti taktikal di lapangan, khususnya di sekitar Kota Belud.
"Masyarakat setempat juga diminta memberikan kerjasama sewajarnya dan tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kegusaran awam," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Anwar Mahu Rakyat Tolak Perkauman, Utamakan Perpaduan
- PGA Tahan Lelaki, Rampas Tujuh Ekor Lembu Seludup Bernilai RM192,000
- PRN Johor: Teo Persoal Tujuan Sebenar Pelantikan ADUN Lantikan Johor
- Perdagangan Dua Hala ASEAN-India Cecah US$128 Bilion
- KWAP Imbang Pendekatan Pelaburan, Perkukuh Pemantauan Syarikat Pemula Niaga -- MOF