09/07/2026 07:00 PM

Hanya Satu Sindiket Penipuan Didalangi Warga China Dikesan Beroperasi Di Kelantan

KOTA BHARU, 9 Julai (Bernama) -- Polis mengesahkan hanya satu sindiket penipuan dalam talian membabitkan warga asing, terutama China dikesan beroperasi di Kelantan setakat ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata sindiket “Love Scam” itu berjaya ditumpaskan dalam tempoh kurang seminggu selepas memulakan operasi di sebuah resort di Tanah Merah pada April lepas.

Beliau berkata kejayaan mengesan pusat operasi sindiket itu membuktikan tindakan pantas polis dalam membanteras kegiatan jenayah terancang.

“Kelantan bukan lokasi yang mudah untuk mereka beroperasi kerana jumlah warga China di negeri ini tidak ramai. Kehadiran mereka dalam jumlah yang besar lebih mudah menarik perhatian dan dikesan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata polis belum dapat memastikan sama ada warga China yang ditahan ketika memasuki negara melalui laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan dalam talian.

“Memang ada warga China yang ditahan, tetapi siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti tujuan sebenar mereka memasuki negara ini serta sama ada mereka mempunyai kaitan dengan mana-mana sindiket,” katanya.

Mohd Yusoff berkata polis juga belum dapat memastikan sama ada mereka berhasrat membuka pusat operasi di Kelantan, namun pemantauan dan risikan akan terus dipertingkatkan bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.

Pada April lepas, sebanyak 58 individu termasuk 52 warga China berusia antara 20 hingga 30-an ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian di Tanah Merah.

-- BERNAMA