09/07/2026 06:48 PM

34 Warga Tempatan Didakwa Berkaitan Kesalahan Kenderaan Libatkan Warga Asing Sejak 2023

KUALA KRAI, 9 Julai (Bernama) -- Sebanyak 34 warga tempatan telah didakwa di mahkamah sejak 2023 kerana melakukan kesalahan berkaitan urus niaga dan penggunaan kenderaan melibatkan warga asing, dengan jumlah denda keseluruhan mencecah RM34,000.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata tindakan itu membuktikan penguatkuasaan bukan sahaja tertumpu kepada pemandu warga asing, malah turut melibatkan rakyat tempatan yang didapati melanggar peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Beliau berkata pihaknya juga akan mengambil tindakan terhadap premis yang menjual motosikal kepada warga asing tanpa membuat pertukaran hak milik.

“Selain itu, pegawai kami juga boleh melaksanakan tangkapan tanpa waran di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pemandu warga asing.

“Sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, JPJ Kelantan mengeluarkan 749 notis saman menerusi Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) dan Ops Bersepadu Dadah terhadap Kenderaan Perdagangan,” katanya pada sidang media operasi berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh itu, sebanyak 188 kenderaan diambil tindakan termasuk 176 disita, manakala kesalahan yang paling banyak dikesan ialah memandu tanpa lesen memandu kompeten dengan 350 kes, diikuti lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (144), tiada perlindungan insurans (142), salah guna LKM (sembilan) dan lain-lain kesalahan teknikal (104).

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu dan juga pemilik kenderaan. Kenderaan yang terlibat boleh disita dan seterusnya dilucut hak melalui perintah mahkamah, sekiranya tidak dituntut dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata operasi PeWA di seluruh Kelantan dilaksanakan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh warga asing.

Sementara itu, Mohd Misuari berkata sebanyak 297 pemandu telah disaring menerusi Ops Bersepadu Dadah terhadap Kenderaan Perdagangan sejak 1 Julai lepas, dengan 10 daripada mereka didapati gagal ujian air kencing yang kesemuanya membabitkan penyalahgunaan air ketum.

Beliau berkata operasi itu akan diteruskan setiap hari dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Agensi Pengangkutan Awam Darat serta agensi berkaitan.

Sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, JPJ Kelantan turut mengeluarkan 42,644 notis saman hasil operasi penguatkuasaan melibatkan pemeriksaan terhadap 91,228 kenderaan.

--  BERNAMA