RHB Investment Bank Kekalkan Unjuran Pertumbuhan IPI 2026 Pada 4.9 Peratus
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd telah mengekalkan unjuran Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) 2026 pada 4.9 peratus dengan pertumbuhan tahun ini yang kukuh sebanyak 5.7 peratus menunjukkan potensi peningkatan kepada unjuran semasanya.
Menurut bank pelaburan itu, sektor pembuatan dijangka terus disokong oleh permintaan global mampan untuk produk elektrik dan elektronik (E&E), penggunaan domestik berdaya tahan dan langkah-langkah dasar yang menyokong manakala kekuatan berterusan dalam eksport, bersama-sama dengan pemulihan dalam Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan, menunjukkan peningkatan momentum perindustrian.
"Walaupun harga tenaga yang sederhana sepatutnya memberikan sedikit kelegaan jangka pendek kepada tekanan kos huluan, prospek kekal tertakluk kepada risiko geopolitik terbaharu, ia boleh mencetuskan lonjakan harga minyak mentah yang lain. Di samping itu, perkembangan dalam dasar tarif Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai risiko luaran penting untuk dipantau," menurut RHB Investment Bank dalam satu nota penyelhari ini.
Industri berorientasikan eksport, terutamanya E&E, sepatutnya terus mendapat manfaat daripada kitaran peningkatan teknologi global yang berterusan yang didorong oleh pendigitalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), menurut RHB Investment Bank.
Menurut kenyataan itu, peningkatan kitaran teknologi global kekal menyokong sektor pembuatan Malaysia, dengan jualan semikonduktor global mencecah US$120.6 bilion pada Mei 2026, manakala penggunaan dan pelaburan swasta berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan pendapatan stabil, pasaran buruh yang sihat dan inisiatif untuk mengukuhkan pengeluaran tempatan dan industri berimpak tinggi, dijangka mengekalkan aktiviti perindustrian domestik.
Bagaimanapun, walaupun bank pelaburan itu bersikap optimis terhadap sektor pembuatan Malaysia, ia tetap berwaspada terhadap peningkatan tekanan kos huluan, menganggarkan bahawa peningkatan satu peratus harga minyak mentah Brent meningkatkan Indeks Harga Pengeluar (PPI) sebanyak kira-kira 0.03 peratus dalam jangka pendek dan 0.2 peratus dalam jangka panjang.
"Walaupun penyederhanaan harga minyak mentah baru-baru ini sepatutnya memberikan sedikit kelegaan jangka pendek kepada tekanan kos input, risiko kenaikan masih kekal. Perkembangan geopolitik terus menjejaskan prospek.
"Tanda-tanda ketegangan AS-Iran terbaharu susulan pengumuman Presiden AS, Donald Trump bahawa gencatan senjata telah berakhir, ditambah pula dengan ketidakpastian mengenai rundingan yang dirancang pada 17 Ogos, telah meningkatkan risiko geopolitik,” menurut bank pelaburan itu.
RHB Investment Bank memaklumkan bahawa ketegangan dan ketidakpastian AS-Iran terbahau menjelang rundingan yang dirancang pada bulan Ogos depan boleh meningkatkan harga minyak mentah Brent, dengan gangguan bekalan mencetuskan lonjakan harga mendadak dan ketidaktentuan pasaran.
Mengenai perdagangan, RHB menjangkakan potensi pengenaan tarif AS ke atas eksport Malaysia di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 akan memberi impak yang boleh diuruskan kerana produk dikecualikan di bawah langkah dicadangkan secara umumnya mencerminkan produk telah dikecualikan di bawah rejim tarif semasa.
Kira-kira 68.9 peratus daripada eksport Malaysia ke AS dilindungi oleh pengecualian, bermakna produk eksport utama, terutamanya jentera dan peralatan elektrik, dijangka sebahagian besarnya tidak terjejas, menurut bank pelaburan itu lagi.
Menurut kenyataan itu, IPP Malaysia berkembang 8.4 peratus tahun ke tahun pada bulan Mei, didorong oleh pertumbuhan meluas merentasi semua sektor, dengan output perlombongan melonjak 19.8 peratus, pembuatan meningkat 6.6 peratus dan elektrik meningkat 4.2 peratus.
Selain itu, RHB turut memaklumkan bahawa pertumbuhan pembuatan disokong oleh pengeluaran produk E&E, produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi yang lebih tinggi, serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
Menurut bank pelaburan itu, PMI Pembuatan Global S&P Malaysia meningkat kepada 50.7 pada bulan Jun daripada 49.0 pada bulan Mei, menandakan kembalinya pengembangan dalam aktiviti pembuatan dalam persekitaran pertumbuhan output terbaharui dan pesanan baharu.
-- BERNAMA
BER
Kata kunci
Berita terkini
- Tiang Gesa Penambahbaikan Segera Sistem Parkir Pintar SMC Cares
- Hanya Satu Sindiket Penipuan Didalangi Warga China Dikesan Beroperasi Di Kelantan
- Wakil Calon PH Machap Buat Laporan Polis Dakwa MB Johor Langgar Peraturan Kempen
- Sentimen Negeri, Kaum DanĀ Agama Boleh Gugat Keselamatan Negara, Tangani Secara Berhemah - PM
- 34 Warga Tempatan Didakwa Berkaitan Kesalahan Kenderaan Libatkan Warga Asing Sejak 2023