NSM: Malaysia Perlu Ambil Tindakan Undang-undang, Diplomatik Terhadap Norway - Ahmad Zahid
MERSING, 9 Julai (Bernama) -- Malaysia perlu mengambil tindakan undang-undang dan diplomatik yang tegas terhadap Norway, susulan tindakan negara Scandinavia itu membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu disifatkan sebagai tidak beretika, memandangkan perolehan dibuat melalui tender terbuka dan telah melalui kajian spesifikasi yang terperinci.
“Kita bukannya mahu menyerang mana-mana negara, sebab sistem pertahanan kita adalah untuk mempertahankan diri dan dalam keadaan yang begitu tidak sepatutnya Malaysia dihukum, dengan penghentian pembekalan peluru berpandu berkenaan,” katanya pada sidang media di Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Endau di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Kementerian Pertahanan untuk tidak lagi meneruskan sebarang perolehan dan kontrak ketenteraan dengan Norway.
Beliau berkata Kementerian Luar juga perlu mengambil tindakan jangka panjang dan bukan sekadar menghantar nota bantahan, meskipun Norway dikatakan menerima arahan daripada pihak lain bagi menghentikan bekalan itu.
Mengenai sama ada tindakan lebih tegas itu boleh menjejaskan hubungan dua hala Malaysia dengan Norway, beliau berkata usaha diplomatik telah dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menghubungi rakan sejawatnya dari negara berkenaan.
“...usaha telah dilakukan oleh pihak kita tetapi negara berkenaan itu takut dengan pihak lain (dan) ini yang menjadi kekesalan kepada Malaysia, (oleh itu) tindakan drastik mesti dilakukan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata kerajaan juga akan mempertimbangkan untuk menghentikan pembelian sebarang bekalan atau barangan dari Norway sebagai tindak balas terhadap tindakan syarikat negara itu, yang menghentikan eksport peluru berpandu kepada TLDM.
“Ini adalah pendirian negara, maka apabila ia merupakan pendirian dan keputusan rasmi negara, tentunya sebarang bekalan atau barangan daripada negara berkenaan harus dipertimbangkan untuk dihentikan pembeliannya.
“Selain itu, ini adalah untuk menghantar satu mesej yang jelas bahawa jangan pernah memperkotak-katikkan Malaysia, walaupun sebagai sebuah negara yang relatifnya kecil tetapi kita adalah sebuah negara yang bermaruah,” tegas Ahmad Zahid.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata tindakan kerajaan untuk tidak lagi meneruskan sebarang perolehan dan kontrak dengan Norway adalah wajar dan tepat berikutan negara itu dilihat tidak menghormati Malaysia.
Beliau berkata keputusan itu dipersetujui Kabinet, selepas Kementerian Pertahanan mencadangkan supaya tiada lagi perolehan aset pertahanan dibuat daripada Norway susulan tindakan negara itu membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu NSM yang telah ditempah Malaysia.
Beliau berkata Kabinet turut meneliti sama ada pendirian itu akan diperluas kepada kementerian lain, namun buat masa ini ia hanya melibatkan Kementerian Pertahanan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Tiang Gesa Penambahbaikan Segera Sistem Parkir Pintar SMC Cares
- Hanya Satu Sindiket Penipuan Didalangi Warga China Dikesan Beroperasi Di Kelantan
- Wakil Calon PH Machap Buat Laporan Polis Dakwa MB Johor Langgar Peraturan Kempen
- Sentimen Negeri, Kaum DanĀ Agama Boleh Gugat Keselamatan Negara, Tangani Secara Berhemah - PM
- 34 Warga Tempatan Didakwa Berkaitan Kesalahan Kenderaan Libatkan Warga Asing Sejak 2023