09/07/2026 05:20 PM

Sukarelawan Orang Asli Terlibat Sar Jaslinda Terima Sijil Penghargaan JBPM Perak

IPOH, 9 Julai (Bernama) -- Tok Batin Kampung Orang Asli Ampang Woh, Bah Lilit Bah Batas yang menyertai sukarelawan menjejaki pendaki wanita Jaslinda Saludin yang hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih pada Mei lepas, menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak hari ini.

Bah Lilit, 52, menerima sijil penghargaan itu daripada Pengarah JBPM Perak Datuk Sayani Saidon pada Majlis Perhimpunan Bulanan bagi Julai 2026 yang berlangsung di Ibu Pejabat JBPM di Meru Raya hari ini.

Selain Bah Lilit, turut menerima sijil penghargaan daripada JBPM Perak ialah Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi Hal Ehwal Masyarakat Orang Asli Chew Ho Beng dan Pengerusi Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM) Muzafar Mohamad serta beberapa lagi individu dan agensi yang terbabit dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda.

Pada 6 Jun lepas, Jaslinda, 49, ditemukan selamat oleh penduduk Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu selepas hilang selama 14 hari sejak 24 Mei ketika mendaki Gunung Batu Putih.

Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh pada 2 pagi, 23 Mei, sebelum hilang.

Terdahulu, Sayani dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen, tenaga dan masa sepanjang operasi SAR Jaslinda dilaksanakan.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat di kawasan hutan serta pergunungan bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi, kekuatan mental, kemahiran navigasi, penggunaan teknologi, koordinasi antara agensi serta kesabaran yang luar biasa.

"Apa yang lebih penting ialah semangat kebersamaan yang ditunjukkan sepanjang operasi tersebut. Tiada satu agensi pun yang mampu melaksanakan sesuatu operasi bersendirian. 

"Kejayaan sesuatu misi bergantung kepada kepercayaan, kerjasama dan kesediaan semua pihak untuk bergerak sebagai satu pasukan," katanya.

Dalam pada itu, Sayani dalam sidang media berkata pihaknya tidak merancang untuk menubuhkan pasukan SAR khas melibatkan masyarakat Orang Asli kerana penglibatan komuniti itu sudah wujud dalam operasi sedia ada.

Beliau berkata masyarakat Orang Asli sememangnya terlibat dalam pasukan penyelamat termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) selain membantu menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mempunyai anggota mahir dengan kawasan pedalaman.

Sayani berkata pihaknya juga telah menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela Orang Asli di beberapa kawasan antaranya di Kampung Orang Asli Ulu Geruntum di Gopeng.

-- BERNAMA