09/07/2026 12:06 PM

PRN Johor: Teo Gesa Pengundi Hargai Hak Mengundi, Tolak Berita Palsu

JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching menyeru pengundi Johor, khususnya yang berada di luar negeri dan negara agar menghargai hak demokrasi mereka dengan pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Teo yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata kesungguhan rakyat Malaysia di perantauan yang sanggup berkorban masa dan wang ringgit demi memastikan undi mereka sampai ke tanah air harus dijadikan inspirasi oleh pengundi tempatan.

Beliau berkongsi beberapa kisah menyentuh hati termasuk seorang pengundi di Queensland, Australia yang sanggup ke lapangan terbang semata-mata untuk mencari individu yang boleh membawa pulang kertas undinya selepas syarikat perkhidmatan kurier gagal menjamin penghantaran sebelum 11 Julai.

Selain itu, beliau berkata terdapat penuntut program sarjana di China yang sanggup menukar tiket penerbangan dengan kos tambahan melebihi RM1,000 untuk pulang mengundi selain pengundi di Amerika Syarikat yang gigih mencari saksi warganegara Malaysia bagi melengkapkan proses undi pos.

“Semua ini sangat menyentuh hati saya. Mereka yang berada begitu jauh sangat menghargai satu undi. Jadi saya berharap pengundi yang bekerja di Kuala Lumpur atau Singapura turut menghargai hak itu dan keluar mengundi pada 11 Julai ini,” katanya.

Teo berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni masyarakat Kampung Baru Skudai bersama-sama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai Kartiyaini Jeyapalan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Teo mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan sebarang berita palsu atau akaun media sosial palsu yang sengaja diwujudkan untuk mengelirukan pengundi pada saat-saat akhir kempen.

Beliau berkata orang ramai perlu menjadi pengguna Internet yang lebih celik digital dengan mengamalkan budaya “semak sebelum sebar” bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih.

“Internet membolehkan maklumat disampaikan dengan pantas namun pada masa yang sama berita palsu juga boleh tersebar dengan lebih cepat. Jika tidak pasti, jangan kongsi,” katanya.

Sementara itu, Kartiyaini berkata jentera PH kini giat memperkukuh kempen bagi menggalakkan ribuan pengundi Johor yang bekerja di Singapura pulang mengundi pada Sabtu ini. 

Beliau berkata kempen itu bukan sekadar mengajak pengundi pulang menunaikan tanggungjawab mereka tetapi juga memberi kesedaran mengenai kepentingan pilihan raya negeri dalam menentukan hala tuju pembangunan Johor.

“Pilihan raya negeri juga penting, bukan hanya pilihan raya umum. Kerajaan negeri yang baik dan proaktif mampu membawa perubahan serta melaksanakan dasar yang diperlukan rakyat Johor,” katanya.

Kartiyaini berkata beliau serta pimpinan PH berada di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) seawal 5 pagi tadi bagi menyantuni dan mengingatkan pekerja rentas sempadan mengenai hari pengundian.

“Kami turut menaiki bas yang membawa pekerja ke Singapura untuk mengajak mereka pulang mengundi. Maklum balas yang diterima sangat positif dan kami harap momentum ini diterjemahkan di peti undi,” katanya.

Sebanyak 2.7 juta pemilih dijangka menunaikan tanggungjawab pada PRN Johor ke-16 untuk memilih 56 wakil rakyat bagi penggal akan datang.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA 

 

N48:SKUDAI: 106,805 pengundi

1.Tan Hiang Kee (BN-MCA)

2. Kartiyaini Jeyapalan (PH-DAP)

3. Eugene Chua Meng Chong (Bersama)

4. Amir Syafiq Ameer Soekre (PSM)

 

(2022: Marina lbrahim: PH-DAP: Maj: 13,943)