08/07/2026 11:52 PM

PRN Johor: Anwar Terus Rancakkan Kempen Pakatan Harapan

JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menyemarakkan kempen calon-calon gabungan itu esok menerusi siri jelajah di tiga lokasi utama di Johor.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau menyeru seluruh warga Johor untuk hadir memberikan sokongan pada siri kempen berkenaan sebelum tempoh berkempen tamat pada tengah malam Jumaat.

“Esok sekali lagi akan berada di Johor bagi memberikan dukungan buat calon-calon serta jentera Harapan. 

“Saya mengajak seluruh warga Johor untuk turut serta. Semoga dipermudah, insya-Allah,” kata beliau.

Menerusi jadual yang dikongsikan, Perdana Menteri akan memulakan siri jelajah di daerah Batu Pahat dengan menghadiri pentas Grand Finale Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang di pekarangan Mediwell Pharmacy Banang Jaya pada 8.05 malam.

Presiden PKR itu kemudian dijadual bergerak ke DUN Rengit bagi menjayakan “Ceramah PMX” di Dewan Orang Asli Rengit, Batu Pahat pada 8.50 malam.

Anwar seterusnya akan mengakhiri siri jelajah itu di kawasan Johor Selatan menerusi program Grand Finale Harapan Johor Selatan bagi DUN Puteri Wangsa di Padang Awam Taman Pelangi Indah di sini pada 10.35 malam.

Tempoh kempen PRN Johor ke-16, yang bermula pada 27 Jun lepas, dijadualkan berakhir pada 11.59 malam 10 Julai ini.

Sebanyak 2.7 juta pemilih biasa yang layak dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Sabtu untuk memilih 56 wakil rakyat bagi penggal akan datang.

Edisi kali ini menyaksikan persaingan membabitkan 56 calon masing-masing daripada PH dan Barisan Nasional (BN), selain Perikatan Nasional (33), Parti Bersama Malaysia (15) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (empat).

Turut bertanding calon daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta enam calon Bebas.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor

-- BERNAMA