MPI, Puspakom Jalin Kerjasama Tingkat Kesedaran Keselamatan Jalan Raya
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan PUSPAKOM Sdn Bhd menjalinkan kerjasama memperkukuh kesedaran keselamatan jalan raya menerusi pendekatan literasi media serta kempen komunikasi awam bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan penyelenggaraan dan pengendalian kenderaan yang selamat.
Kenyataan bersama MPI dan PUSPAKOM memaklumkan kerjasama itu turut membincangkan pembangunan program literasi media berkaitan teknologi terkini dalam industri pemeriksaan kenderaan termasuk penggunaan kecerdasan buatan bagi meningkatkan kecekapan proses pemeriksaan serta memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai aspek penyelenggaraan dan keselamatan kenderaan.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM Mahmood Razak Bahman berkata kerjasama itu mempunyai potensi besar untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan jalan raya melalui penyampaian maklumat yang tepat dan mudah difahami.
“Ini merupakan satu cadangan yang sangat baik. PUSPAKOM melihat kerjasama ini mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan kami berharap pelaksanaannya dapat disegerakan,” katanya.
Sementara itu, Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong berkata pihaknya menyambut baik kesediaan PUSPAKOM menjalin kerjasama strategik berkenaan dan akan meneliti bentuk pelaksanaan yang bersesuaian, termasuk pembangunan modul literasi media, program latihan, kempen komunikasi awam serta inisiatif pendidikan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai keselamatan jalan raya.
Pada sesi pertemuan di Pusat Latihan MPI di Cyberjaya, PUSPAKOM turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada MPI sebagai sokongan terhadap penganjuran Malam Wartawan Malaysia 2026 yang dijadual berlangsung pada 17 Julai ini di Hotel The Majestic di sini sekali gus menandakan tahun ketiga berturut-turut syarikat itu menaja acara berkenaan.
Mahmood berkata sumbangan itu mencerminkan komitmen PUSPAKOM dalam menyokong pembangunan kewartawanan profesional di Malaysia dan menghargai peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.
“Kewartawanan profesional memainkan peranan penting dalam membantu rakyat membuat keputusan yang berasaskan fakta dan maklumat yang sahih.
“Sejak sekian lama, media menjadi sumber maklumat yang dipercayai serta berperanan membentuk kefahaman masyarakat terhadap pelbagai isu yang memberi kesan kepada kehidupan harian, termasuk aspek keselamatan kenderaan dan keselamatan jalan raya,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Korea Selatan, Malaysia Perkukuh Kerjasama Tenaga Nuklear, Strategik
- Trump Beri Amaran AS Mungkin Serang Iran Lagi Pada Rabu Malam
- Perancis Sedia Bantu Malaysia Bangunkan Tenaga Nuklear Awam
- PKR Pahang Nafi Keluar Kenyataan Kesal Anwar Terima Reaksi Negatif Program FELDA
- Jemaah Menteri Setuju Pinda RUU Perkukuh Peranan Parlimen Dalam Lantikan Pendakwa Raya