08/07/2026 10:52 PM

PKR Pahang Nafi Keluar Kenyataan Kesal Anwar Terima Reaksi Negatif Program FELDA

KUANTAN, 8 Julai (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang menafikan laporan sebuah portal dalam talian yang mendakwa parti itu kesal Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima reaksi negatif ketika Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA di Jengka semalam.

Ketua Penerangan PKR Pahang Datuk Dr Suhaimi Ibrahim menafikan dakwaan itu yang bukan sahaja mengelirukan, malah sama sekali bukan kenyataan PKR Pahang.

“Saya hadir sendiri pada Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun Felda yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang program itu, tiada insiden seperti yang didakwa berlaku. 

“Dakwaan bahawa Perdana Menteri ‘kena boo’ adalah satu naratif yang diputarbelitkan dan disensasikan sehingga tidak menggambarkan keadaan sebenar,” katanya menerusi kenyataan media.

Sebaliknya, beliau berkata majlis berlangsung dalam suasana yang meriah, teratur dan mendapat sambutan luar biasa daripada puluhan ribu warga Felda yang hadir. 

Beliau berkata setiap pengumuman berkaitan inisiatif dan kebajikan peneroka turut disambut dengan tepukan serta reaksi yang positif.

Suhaimi berkata penggunaan nama PKR Pahang bagi memberikan gambaran seolah-olah kenyataan itu datang daripada parti adalah tidak bertanggungjawab, mengelirukan dan boleh menjejaskan reputasi organisasi.

“PKR Pahang tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang didakwa dalam laporan itu, apatah lagi menggunakan bahasa atau gelaran yang menghina warga Felda.

“Penyebaran naratif sedemikian jelas lebih menjurus kepada usaha membentuk persepsi politik berbanding melaporkan fakta secara adil dan beretika,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak, khususnya pengamal media dan pengguna media sosial supaya lebih bertanggungjawab dalam menyemak serta menyebarkan sesuatu maklumat. 

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan merasmikan Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun Felda di Jengka serta mengumumkan tujuh insentif bagi memperkasakan pembangunan dan kebajikan komuniti FELDA.

-- BERNAMA