09/07/2026 12:34 AM

Pulau Pinang Sasar Pasaran India Menerusi Misi Jualan Di Tujuh Bandar

GEORGE TOWN, 8 Julai (Bernama) -- Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) melancarkan Misi Jualan ke India 2026 bagi mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai satu daripada pasaran antarabangsa utamanya menerusi siri jelajah promosi di tujuh bandar yang menyasarkan lebih 400 bakal pembeli.

Misi itu bermula di Hyderabad pada 6 Julai dan diteruskan di Bengaluru semalam, diikuti Coimbatore hari ini, Salem (10 Julai), Madurai (13 Julai), Tiruchirappalli (14 Julai) dan Chennai (16 Julai), dengan melibatkan lebih 400 pembeli berpotensi tinggi termasuk ejen pelancongan, syarikat korporat, perancang acara serta pihak berkepentingan dalam industri pelancongan.

“India kekal sebagai satu daripada enam pasaran keutamaan Pulau Pinang, dengan potensi kukuh dalam acara perniagaan, mesyuarat korporat, perjalanan insentif, majlis perkahwinan serta pelancongan riadah.

“Hubungan budaya antara India dan Malaysia, bersama-sama identiti masyarakat majmuk Pulau Pinang, warisan, makanan, layanan mesra serta kemudahan acara moden terus menjadikan negeri itu sebagai destinasi yang menarik bagi pasaran India,” menurut kenyataan PCEB hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PCEB Ashwin Gunasekeran berkata India sentiasa menjadi pasaran penting bagi Pulau Pinang dan misi jualan itu membolehkan negeri berkenaan berhubung secara langsung dengan pembeli utama, pembuat keputusan serta pihak berkepentingan industri di beberapa bandar yang mempunyai potensi tinggi.

Beliau berkata misi itu juga dilaksanakan pada masa yang tepat ketika Malaysia membuat persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, yang menyaksikan penglibatan antarabangsa lebih kukuh serta promosi destinasi akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan ketibaan pelawat dan peluang perniagaan.

“Menerusi misi jualan ini yang dilaksanakan dengan kerjasama syarikat penerbangan IndiGo, PCEB menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai tawaran yang terdapat di Pulau Pinang serta menggalakkan lebih banyak acara perniagaan dan kumpulan pelancong dari India berkunjung ke negeri ini,” katanya.

 -- BERNAMA