09/07/2026 12:33 AM

Program Halal Home Grown Champion Jana Potensi Jualan RM187.91 Juta Pada 2024 - 2026

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Program Halal Home Grown Champion - Sourcing Partnership 2.0 yang dilaksanakan bagi tempoh 2024 hingga 2026 telah membantu 313 syarikat, termasuk 158 syarikat bumiputera dan 52 syarikat milikan wanita, dengan potensi jualan berjumlah RM187.91 juta.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan Halal Home Grown Champion - Sourcing Partnership 2.0 merupakan program intervensi bersasar bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan berkembang.

“Selain itu, kerajaan menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 edisi ke-22, yang merupakan pameran halal terbesar dunia pada 23 hingga 26 September, 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

“Sebanyak 2,400 reruai pameran akan disediakan dan lebih 1,000 syarikat PMKS tempatan dijangka mendapat manfaat daripada peluang perniagaan yang diwujudkan melalui pameran berkenaan,” jelas kementerian itu melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN- Pagoh) mengenai strategi khusus pada 2026 untuk menembusi pasaran baharu, membantu PMKS halal tempatan, meningkatkan nilai tambah produk dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional.

MITI menyatakan Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju industri halal global.

Dengan reputasi pensijilan halal yang diyakini dunia, ekosistem halal yang menyeluruh serta pelaksanaan strategi-strategi yang berfokus kepada penerokaan pasaran baharu, pemerkasaan PMKS dan peningkatan nilai tambah produk, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus memperluaskan penguasaan pasaran halal global, tambahnya.

-- BERNAMA