09/07/2026 12:57 AM

IHW 2026: Jana Peluang Pasaran, Promosi Malaysia

Daripada Shuhaida Mohd Said

BANGKOK, 8 Julai (Bernama) -- Penyertaan Malaysia dalam Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2026 di sini bertujuan memperluas peluang pasaran bagi syarikat peranti perubatan dan penjagaan kesihatan tempatan serta mempromosikan Kuala Lumpur sebagai bandar tuan rumah untuk pameran pada 2027.

IHW 2026, diadakan dari 8 hingga 10 Julai, menghimpunkan kira-kira 1,200 pempamer dari seluruh dunia dan dijangka menarik lebih 26,000 pengunjung, menyediakan platform strategik untuk perniagaan membentuk kerjasama baharu dan meneroka peluang pasaran antarabangsa.

Pengarah Seksyen Gaya Hidup dan Sains Hayat, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Omar Mohd Salleh berkata penyertaan ini bertujuan untuk membantu syarikat Malaysia meluaskan kehadiran masing-masing melangkaui pasaran sedia ada, terutama di negara jiran dan pasaran antarabangsa lain melalui platform pameran.

Beliau berkata Malaysia bukan sahaja mempromosikan syarikat tempatan kepada perniagaan Thailand malah juga kepada pembeli dan peserta industri dari negara lain yang menghadiri pameran ini.

“Kami membawa lapan syarikat Malaysia mempamerkan pelbagai produk perubatan dan penjagaan kesihatan.

“Sebahagian daripada syarikat ini telah menembusi pasaran di luar ASEAN, dan itu merupakan kelebihan kerana mencerminkan kualiti dan daya saing produk Malaysia pada peringkat antarabangsa,” katanya kepada media di luar acara IHW 2026 yang dianjurkan Informa Markets, pada Rabu.

Beliau berkata beberapa syarikat yang mengambil bahagian telah menjalinkan hubungan perniagaan di Thailand justeru, pameran itu memberikan peluang untuk syarikat mempelbagaikan pasaran eksport masing-masing melalui kerjasama dengan pembeli dari rantau lain.

“Peranan MATRADE adalah untuk terus menyokong syarikat Malaysia dalam usaha mengembangkan jejak antarabangsa melalui platform seperti IHW,” katanya.

Omar berkata pada masa sama, Malaysia memanfaatkan penyertaannya kali ini untuk mempromosikan IHW 2027, yang akan diadakan di Kuala Lumpur, dengan menyasarkan lkehadiran ebih ramai pempamer antarabangsa dan pengunjung perdagangan.

Beliau berkata inisiatif itu adalah sebahagian usaha untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pembuatan produk penjagaan kesihatan dan perubatan serantau.

“Objektif kami adalah untuk menarik sebanyak mungkin pempamer dan pengunjung ke Kuala Lumpur tahun depan di samping mempamerkan kekukuhan industri penjagaan kesihatan Malaysia kepada pasaran antarabangsa,” katanya.

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul hari ini merasmikan IHW 2026 di Pusat Konvensyen Kebangsaan Queen Sirikit di sini, dan acara itu turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan Awam Pattana Promphat.

Sementara itu, Pengarah Portfolio Serantau ASEAN Informa Markets, Rungphech Chitanuwat berkata Informa Markets telah membina reputasinya dengan melaksanakan acara perdagangan berskala besar seterusnya menjana hasil perniagaan yang ketara.

Beliau berkata keupayaan pihaknya menyelaraskan pameran dengan strategi ekonomi negara telah membolehkan Informa Markets meraih sokongan kerajaan yang kukuh di samping menarik kalangan penggubal dasar, pemimpin industri dan pembeli antarabangsa serta mewujudkan platform yang memacu pelaburan, inovasi dan kerjasama rentas sempadan.

-- BERNAMA