Penamatan Kehamilan: Undang-undang Malaysia Peruntuk Pengecualian Jelas Di Bawah Seksyen 312KK
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Penamatan kehamilan hanya dibenarkan di bawah Seksyen 312 Kanun Keseksaan jika dilakukan oleh pengamal perubatan sah yang berpendapat bahawa penerusan kehamilan akan melibatkan risiko nyawa, kecederaan kepada fizikal atau mental wanita hamil berkenaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata beliau mengambil maklum kenyataan beberapa pihak berhubung jawapan bagi soalan tambahan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas Dr Siti Mastura Muhammad semasa sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, Isnin lepas.
“Saya yakin pihak yang berkenaan mengetahui bahawa di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574], khususnya Seksyen 312 hingga Seksyen 316, pengguguran kandungan pada asasnya merupakan suatu kesalahan jenayah.
“Bagaimanapun, undang-undang Malaysia turut memperuntukkan pengecualian yang jelas di bawah Seksyen 312… dalam keadaan sedemikian, penamatan kehamilan adalah dibenarkan di sisi undang-undang,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kenyataannya merujuk secara spesifik kepada soalan tambahan, iaitu berkenaan jumlah klinik yang dikesan melakukan perkhidmatan pengguguran secara haram tanpa kebenaran di seluruh negara.
“Mungkin timbul kekeliruan atau salah anggap terhadap maklum balas saya di Dewan Rakyat pada hari tersebut apabila saya tidak menyatakan secara jelas mengenai peruntukan pengecualian di bawah Seksyen 312 Kanun Keseksaan,” katanya.
Lim berkata penjelasan yang diberikan tidak bertujuan untuk mengetepikan pengecualian yang diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada berhubung isu pengguguran kandungan malah salah tafsiran terhadap maklum balas beliau mungkin timbul apabila ia dilihat dari sudut yang berbeza.
“Mungkin tajuk pelaporan yang tidak menggambarkan keadaan keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya sentiasa menghormati dan mengiktiraf kerangka perundangan yang berkuat kuasa di negara ini serta menghargai pandangan semua pihak.
Lim juga berharap penjelasan beliau mampu menjernihkan sebarang kekeliruan mengenai kenyataannya dan kedudukan undang-undang berkaitan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- IHW 2026: Jana Peluang Pasaran, Promosi Malaysia
- Malaysia Sasar xEV Kuasai 20 Peratus Jualan Kenderaan Baharu Menjelang 2030 - MITI
- Pulau Pinang Sasar Pasaran India Menerusi Misi Jualan Di Tujuh Bandar
- Program Halal Home Grown Champion Jana Potensi Jualan RM187.91 Juta Pada 2024 - 2026
- Projek Tapak Perkuburan Islam Hulu Semenyih Dirancang Sejak 2005 - Hannah