Perancis Sedia Bantu Malaysia Bangunkan Tenaga Nuklear Awam
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Perancis bersedia bekerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan tenaga nuklear awam sekiranya negara ini memutuskan untuk meneroka pilihan itu sebagai sebahagian daripada usaha peralihan tenaga, kata Menteri Perwakilan bagi Perdagangan Luar dan Daya Tarikan Ekonomi Perancis Nicolas Forissier.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan itu terletak di tangan kerajaan Malaysia yang masih menilai pilihan berkenaan menerusi perbincangan dan perbahasan di peringkat nasional.
“Saya difahamkan perkara ini masih dalam perbahasan kerana tenaga nuklear merupakan antara kaedah terbaik untuk menyahkarbon pengeluaran elektrik dan tenaga.
“Kami telah mengadakan perbincangan dengan anggota kerajaan dan mereka sedang meneliti perkara itu. Mereka sedang mengkajinya serta mengadakan perbahasan di peringkat nasional mengenai kemungkinan membangunkan tenaga nuklear awam pada masa depan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Forissier berkata Perancis mempunyai kepakaran yang luas dalam bidang tenaga nuklear dengan kira-kira 60 peratus bekalan elektrik negara itu dijana menerusi tenaga nuklear, manakala selebihnya daripada sumber tenaga boleh baharu seperti solar dan angin.
Sehubungan itu, beliau berkata Perancis bersedia berkongsi pengalaman serta kepakaran teknikal sekiranya Malaysia memilih tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga negara pada masa hadapan.
“Sekiranya Malaysia mahu membangunkan tenaga nuklear awam bagi meningkatkan penjanaan elektrik rendah karbon, kami bersedia membantu.
“Kami mahu membina kerjasama jangka panjang kerana pembangunan tenaga nuklear memerlukan komitmen yang berpanjangan, iaitu antara 50 hingga 80 tahun,” katanya.
Forissier dalam lawatan rasmi sulung ke Malaysia, diiringi delegasi yang terdiri daripada lebih 20 syarikat Perancis, mencerminkan minat kukuh sektor awam dan swasta negara itu untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dengan Malaysia.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, beliau berkata lawatan itu merupakan manifestasi terkini peningkatan hubungan politik antara kedua-dua negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut kenyataan itu, perkembangan tersebut menyusuli beberapa siri interaksi peringkat tinggi, termasuk perbincangan antara menteri luar kedua-dua negara, lawatan Menteri Pertahanan Malaysia ke kapal pengangkut pesawat Perancis pada Mac 2025, serta lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis pada 3 dan 4 Julai 2025.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Malaysia Sasar xEV Kuasai 20 Peratus Jualan Kenderaan Baharu Menjelang 2030 - MITI
- Pulau Pinang Sasar Pasaran India Menerusi Misi Jualan Di Tujuh Bandar
- Program Halal Home Grown Champion Jana Potensi Jualan RM187.91 Juta Pada 2024 - 2026
- Projek Tapak Perkuburan Islam Hulu Semenyih Dirancang Sejak 2005 - Hannah
- Penamatan Kehamilan: Undang-undang Malaysia Peruntuk Pengecualian Jelas Di Bawah Seksyen 312KK