Korea Selatan, Malaysia Perkukuh Kerjasama Tenaga Nuklear, Strategik
SEOUL, 8 Julai (Bernama-Yonhap) -- Pegawai kanan kementerian luar Korea Selatan dan Malaysia mengadakan rundingan dasar di Seoul pada Rabu serta bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga nuklear dan bidang strategik lain, menurut Kementerian Luar Korea Selatan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Persetujuan itu dicapai pada Mesyuarat Perundingan Dasar Korea Selatan-Malaysia Ke-10 yang dihadiri Naib Menteri Luar Pertama Korea Selatan Park Yoon-joo dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Amran Mohamed Zin.
"Kedua-dua negara bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang tenaga nuklear dan bidang lain bagi memastikan bekalan gas asli cecair (LNG) serta produk petroleum yang stabil, di samping meningkatkan keselamatan tenaga serantau," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kedua-dua pihak turut menyatakan harapan agar perjanjian perdagangan bebas yang sedang diusahakan untuk dimeterai tahun ini dapat terus memperluas perdagangan dua hala serta menyediakan asas institusi bagi kerjasama yang lebih meluas dalam industri baharu muncul, termasuk kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan industri hijau.
Selain itu, menurut kementerian berkenaan, kedua-dua pegawai menilai bahawa kerjasama dalam sektor pertahanan dan industri pertahanan terus berkembang berasaskan memorandum persefahaman mengenai kerjasama pertahanan, termasuk usaha menubuhkan jawatankuasa bersama kerjasama pertahanan pada tahun ini.
-- BERNAMA-YONHAP
Kata kunci
Berita terkini
- Malaysia Sasar xEV Kuasai 20 Peratus Jualan Kenderaan Baharu Menjelang 2030 - MITI
- Pulau Pinang Sasar Pasaran India Menerusi Misi Jualan Di Tujuh Bandar
- Program Halal Home Grown Champion Jana Potensi Jualan RM187.91 Juta Pada 2024 - 2026
- Projek Tapak Perkuburan Islam Hulu Semenyih Dirancang Sejak 2005 - Hannah
- Penamatan Kehamilan: Undang-undang Malaysia Peruntuk Pengecualian Jelas Di Bawah Seksyen 312KK