Kerajaan Teliti Cadangan Rakaman CCTV Insiden Penjara Taiping Disiar Di Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti cadangan beberapa Ahli Parlimen supaya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden di Penjara Taiping, yang menyebabkan kematian seorang tahanan pada awal tahun lepas ditayangkan di Dewan Rakyat untuk memperkukuh fungsi semak dan imbang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata walaupun beliau pada prinsipnya berpendapat Ahli Parlimen wajar diberi akses kepada rakaman itu, namun cadangan berkenaan perlu diperhalusi terlebih dahulu dari sudut implikasi undang-undang, termasuk isu subjudis dan kes yang masih berjalan.
“Sehubungan dengan itu, perkara ini akan dibincangkan lebih lanjut dengan pihak-pihak berkaitan dan satu keputusan muktamad akan dipertimbangkan.
“Saya harap satu keputusan, mungkin oleh Kabinet dibuat dengan seberapa segera yang boleh supaya ia boleh ditayangkan, kalau boleh minggu hadapan supaya kita dapat tahu apa yang telah berlaku,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut laporan media, seorang tahanan bernama Gan Chin Eng maut manakala hampir 100 lagi cedera dalam kejadian provokasi pada 17 Jan 2025 di Penjara Taiping.
Kulasegaran berkata kerajaan juga meneliti cadangan memperluas kuasa dan fungsi SUHAKAM, termasuk akses ke pusat tahanan tanpa notis awal serta cadangan menambah pejabat cawangan di Sabah dan Sarawak yang akan dinilai mengikut keperluan dan kedudukan kewangan negara.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Kesihatan (KKM) pula berkata Unit Kesihatan Institusi telah ditubuhkan pada 1 Okt 2025 bagi memantau dan menyelaras kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan di institusi penjara susulan insiden berkenaan.
Beliau berkata kementerian juga sedang membangunkan memorandum persefahaman dan garis panduan penyampaian perkhidmatan kesihatan bersama Jabatan Penjara Malaysia, selain dalam proses meningkatkan penempatan petugas kesihatan di institusi penjara secara berfasa.
Hanifah ketika mengulas mengenai isu kanak-kanak tanpa dokumen berkata KKM terus memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan disediakan kepada semua golongan tanpa mengira taraf kewarganegaraan, namun pesakit yang gagal atau tidak mengemukakan dokumen pengenalan diri seperti MyKad, MyKid atau sijil kelahiran adalah tertakluk kepada caj.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan penambahan sebanyak 40 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) menjelang 2030 bagi memastikan golongan itu tidak terpinggir daripada aktiviti jangkauan sosial, menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying.
Beliau semasa menggulung perbahasan bagi KPWKM berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyasarkan penubuhan sekurang-kurangnya 10 PAWE baharu setiap tahun bermula 2027 hingga 2030 bagi memenuhi syor kesaksamaan akses SUHAKAM.
“Bagi mengatasi kekangan premis fizikal di lokasi tertentu, JKM turut memperkenalkan inisiatif pemerkasaan program aktiviti warga emas tanpa premis, yang dikenali sebagai PAWE 3A (anywhere, anyplace, anytime), yang boleh dilaksanakan di mana-mana lokasi yang bersesuaian dan mudah diakses oleh majoriti warga emas,” katanya.
Turut menggulung perbahasan usul Laporan Tahunan SUHAKAM ialah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Usul berkenaan kemudiannya diluluskan Dewan Rakyat dengan lebih banyak suara yang menyokong selepas selesai penggulungan oleh kementerian-kementerian berkaitan.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Jemaah Menteri Setuju Pinda RUU Perkukuh Peranan Parlimen Dalam Lantikan Pendakwa Raya
- Tiada Penglibatan Komuniti Rohingya Dalam Jenayah Berat Di Kelantan
- Imigresen Serbu Dua Rumah Mewah Jadi Transit Migran, Tahan 10 Warga Bangladesh
- Malaysia Tampil Tiga Inisiatif Utama Agenda Digital Pada Forum WSIS 2026
- Jabatan Mufti Pahang, MUIP Junjung Titah Al-Sultan Abdullah Martabatkan Institusi Masjid, Surau