Jabatan Mufti Pahang, MUIP Junjung Titah Al-Sultan Abdullah Martabatkan Institusi Masjid, Surau
KUANTAN, 8 Julai (Bernama) -- Jabatan Mufti Negeri Pahang bersama dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk sentiasa memartabatkan institusi masjid serta surau di negeri itu.
Mufti Pahang Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata solat Jumaat di Pahang perlu dilakukan di masjid dan surau kebenaran Jumaat (SKJ).
Beliau berkata Al-Sultan Abdullah telah mengambil maklum berhubung cadangan mewujudkan surau atau musola Jumaat di pusat membeli-belah di seluruh negara.
“Baginda bertitah bahawa MUIP adalah pihak berkuasa yang mewakili Sultan Pahang sebagai penguasa berkaitan masjid atau surau yang terletak di bawah senarai negeri selaras dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Asmadi juga berkata Sultan Pahang telah dimaklumkan bahawa susun atur masjid di negeri itu telah mengambil kira kewujudan masjid dalam pusat kemasyarakatan.
“Masjid atau SKJ tersebut lebih sesuai diimarahkan seperti Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Bandar Kuantan, Masjid Tepian Putra di kawasan Malay Town dan Kuantan City Mall, Masjid Bandaraya yang akan dibuka dan Masjid Al-Shafie di KotaSAS,” katanya.
Selain itu, Asmadi berkata syarat sah solat Jumaat mengikut Mazhab Syafii merangkumi enam perkara utama iaitu didirikan solat Jumaat dalam waktu Zohor dengan sekurang-kurangnya 40 jemaah, didahului dua khutbah dan didirikan di satu tempat atau bangunan yang dikhususkan serta tidak boleh ada pertembungan solat Jumaat di kawasan berhampiran.
Pada Ahad lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan mengalu-alukan negeri-negeri di seluruh Malaysia melaksanakan inisiatif solat Jumaat di pusat beli-belah susulan sambutan positif terhadap pelaksanaannya di beberapa lokasi di Wilayah Persekutuan.
-- BERNAMA
Berita terkini
- IHW 2026: Jana Peluang Pasaran, Promosi Malaysia
- Malaysia Sasar xEV Kuasai 20 Peratus Jualan Kenderaan Baharu Menjelang 2030 - MITI
- Pulau Pinang Sasar Pasaran India Menerusi Misi Jualan Di Tujuh Bandar
- Program Halal Home Grown Champion Jana Potensi Jualan RM187.91 Juta Pada 2024 - 2026
- Projek Tapak Perkuburan Islam Hulu Semenyih Dirancang Sejak 2005 - Hannah